PERSATUAN Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) secara rasmi mengumumkan penamatan kontrak Shin Tae-yong sebagai Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, melibatkan skuad senior dan B-23.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi kenyataan rasmi di laman Instagram PSSI pada Isnin, yang menyatakan pengakhiran perkhidmatan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu bersama pasukan Indonesia.

“PSSI mengumumkan pengakhiran kontrak Shin Tae-yong sebagai ketua jurulatih pasukan Indonesia Senior dan U-23.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan yang panjang dan matang serta evaluasi yang dilakukan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia dan Badan Pasukan Nasional secara menyeluruh terhadap prestasi pasukan dan tujuan jangka panjang yang ingin dicapai oleh Pasukan Nasional Sepakbola Indonesia.

“PSSI berterima kasih dan menghargai semua kontribusi yang telah diberikan bagi pembangunan Pasukan Nasional Sepakbola Indonesia. PSSI berharap yang terbaik bagi Shin Tae-yong untuk masa hadapan.”

Menurut kenyataan tersebut, keputusan ini dibuat selepas melalui proses perbincangan dan penilaian menyeluruh oleh PSSI serta Badan Pasukan Nasional.

Ia mengambil kira prestasi pasukan di bawah kendalian Shin Tae-yong serta matlamat jangka panjang pembangunan bola sepak negara itu.

Shin Tae-yong dilantik menjadi ketua jurulatih Indonesia pada 8 Januari 2020, dia juga telah memberikan impak besar kepada perubahan skuad Garuda.

Selain itu, pasukan Indonesia kini sedang bersaing dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026, dengan perlawanan seterusnya dijadualkan menentang Australia pada Mac 2025.

Dengan keputusan ini, persoalan timbul mengenai siapakah yang bakal menggantikan tempat Shin Tae-yong sebagai ketua jurulatih, lebih-lebih lagi menjelang aksi penting dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 dan kejohanan akan datang.