WONG Ling Ching memberi harapan kepada masa depan skuad perseorangan wanita negara selepas mencatat kemenangan memberangsangkan, menewaskan pemain Top 10 dunia di Sukan SEA Thailand.
Pada aksi separuh akhir berpasukan wanita sebentar tadi, skuad wanita negara tewas 2-3 kepada Indonesia, namun Ling Ching mencipta kejutan terbesar menewaskan pemain nombor 10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung 22-20, 17-21, 21-16.
Kemenangannya meletakkan Malaysia mendahului 2-1, selepas Pearly Tan-M Thinaah memungut mata pertama setelah menewaskan Rachel Allessya-Febi Setianingrum 21-14, 17-21, 21-16 dan K Letshanaa tunduk 9-21, 10-21 kepada jagoan nombor 7 dunia, Putri Kusuma Wardani.

Pearly-Thinaah memungut mata pertama di susuli kemenangan Ling Ching, namun skuad wanita tetap tewas 2-3 kepada Indonesia.
Sayangnya, percaturan menurunkan gandingan pecahan, Go Pei Kee-Toh Ee Wei pada perlawanan keempat mengundang padah apabila tunduk kepada Febriani Dwipuji-Meilysa Trias, 10-21, 9-21, menjadikan kedudukan 2-2.
Siti Zulaikha yang turun pada perlawanan penentuan, gagal menyaingi Mutiara Ayu, 18-21, 16-21, sekali gus meletakkan skuad wanita di posisi pingat gangsa.