HARAPAN skuad wanita negara untuk bangkit dalam aksi kedua Sukan SEA 2025 tidak kesampaian selepas tewas 0-3 kepada Myanmar dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium TNSU, Chonburi pada Isnin, dengan cabaran bertambah sukar apabila Malaysia beraksi dengan 10 pemain pada baki setengah jam terakhir.
Malaysia mempertaruhkan Azurin Mazlan selaku kapten di gawang manakala Ainsyah Murad diberikan tanggungjawab mengemudi jentera serangan. Namun sejak wisel permulaan, Myanmar mula menunjukkan taring apabila May Htet dan Win Theingi silih berganti menguji benteng negara.
Tekanan berterusan itu akhirnya membuahkan hasil buat pasukan bergelar Singa Betina Asia apabila San Thaw membuka tirai jaringan pada minit ke-27, sebelum May Htet menggandakan kedudukan dengan rembatan deras di minit ke-35 yang menewaskan Azurin buat kali kedua.
Malaysia hampir merapatkan jurang sebelum rehat melalui percubaan Adrienna, namun tindakan cemerlang penjaga gol Myo Mya menafikan peluang tersebut. Babak pertama berakhir dengan Malaysia ketinggalan 0-2.
Memasuki separuh masa kedua, Myanmar terus mengasak tanpa henti dan May Htet sekali lagi menjadi watak utama dalam menggerakkan serangan mereka. Situasi bertambah perit buat Malayan Tigress apabila Adrienna dilayangkan kad kuning kedua, memaksa Malaysia beraksi dengan 10 pemain ketika baki 30 minit permainan.
Kesilapan di benteng negara kemudian dihukum pada minit ke-65 apabila Win Theingi menyempurnakan gol ketiga Myanmar, menutup peluang Malaysia untuk bangkit. Walaupun Malaysia cuba melancarkan beberapa usaha lewat permainan, ketangkasan Myo Mya memastikan gawang Myanmar kekal kebal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan 0-3 ini menjadi ingatan jelas buat Malayan Tigress bahawa ruang pembaikan masih luas terutama dalam ketahanan defensif dan ketenangan ketika berdepan tekanan tinggi di pentas serantau.