PASUKAN dari benua Latin dicadang sebagai medan menguji taring Harimau Malaya untuk persiapan menghadapi Piala Asia yang bakal bermula kurang 11 bulan daripada sekarang.

Pemilihan negara yang bakal ditentang pasukan bola sepak kebangsaan perlu dibuat sebaik mungkin kerana anak buah Kim Pan-gon benar-benar memerlukan lawan liat untuk melihat sejauh mana keseriusan mereka tampil aksi kompetitif di peringkat antarabangsa.

Laporan berita luar negara sebelum ini mendedahkan pasukan Piala Dunia 2022, Australia disebut-sebut akan bertemu Malaysia di Perth pada Mac depan. Namun begitu, ianya tampak tidak menjadi kenyataan kerana difahamkan perlawanan persahabatan itu nanti hanya diadakan dalam negara sahaja.

Timbul persoalan dalam kalangan penyokong, siapakah lawan bakal hadir nanti ? Peminat juga meneka dengan membuat pelbagai andaian bahawa mungkin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memilih pasukan jagoan dari bumi Amerika Selatan ataupun pasukan yang berada ranking 100 dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Menurut pandangan jurulatih antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, sudah sampai masanya negara mengambil peluang bertemu gergasi handalan dunia bagi meningkatkan intensiti permainan berbanding menguji jiran serantau atau ranking setara.

ARTIKEL BERKAITAN : Apa faedah buat bola sepak negara apabila Hamidin sebagai Ahli Majlis Fifa?

Malah katanya, ‘kelebihan’ yang dimiliki Malaysia selepas Datuk Hamidin Mohd Amin terpilih untuk menganggotai Majlis Fifa, iaitu jawatankuasa eksekutif tertinggi harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

No body is perfect. Pelantikan Hamidin satu penghornatan buat bola sepak Malaysia dan kesempatan mempertingkatkan mutu bola sepak negara di level Asia, Olimpik dan dunia.

“Inilah peluangnya (adakah aksi persahabatan) dengan negara terhebat. Mungkin boleh panggil Chile, Brazil ataupun juara dunia Argentina ke sini. Hatta, pasukan kegemaran ramai rakyat Malaysia, England juga boleh di jemput berentap di tanah air.

“Tiada yang mustahil jika FAM bijak menyusun strategi dan menggunakan pengaruh Hamidin sebagai Exco Fifa yang baharu,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Bekas jurulatih UiTM FC berusia 56 tahun itu juga percaya bola sepak Malaysia berada dalam dimensi berlainan jika dapat menjemput pasukan top kerana selepas ini mungkin akan ada lagi siri perlawanan antarabangsa Tier A.

Beliau yang kini mengendalikan kelab Muktijoddha Sangsad KC di Liga Perdana 1 Bangladesh memberikan contoh bagaimana negaranya berada itu serius untuk membawa masuk Neymar dan Lionel Messi menerusi kerjasama pihak penaja dan syarikat utama.

“Bangladesh bertekad memajukan industri bola sepak ke paras tertinggi. Kita pula ada wakil Malaysia di Fifa dan pemilihan Hamidin secara automatik membuka kesempatan untuk prestasi pasukan kebangsaan dan seluruh elemen dari peringkat akar umbi, pembangunan belia sehinggalah ke skuad senior untuk dibangunkan dengan baik serta menjadi luar biasa.

“Aspek ‘Coaching Education‘ turut akan memberi kelebihan kepada jurulatih Malaysia untuk didedahkan melalui kerjasama beberapa negara level dunia seperti Brazil, Argentina, Chile dan Eropah.

“Harus diingat, walaupun saingan tertinggi Asia itu hanya akan berlangsung pada Januari tahun depan di bumi Qatar tetapi segalanya kena dipersiapkan dari sekarang.

“Saya percaya mutu bola sepak negara akan meningkat pada tahun 2023 dan memberikan sinar kebahagian seluruh pecinta sukan negara,” katanya sering mengikuti perjalanan arena bola sepak tempatan dan negara dari Bangladesh.