PERJALANAN baharu skuad Harimau Malaya bukan sekadar tertumpu kepada kemenangan perlawanan semasa, sebaliknya menghala jauh ke hadapan  ke pentas Piala Asia 2027 dan lebih besar, kelayakan Piala Dunia 2030.

Inilah hala tuju yang digariskan oleh ketua jurulatih negara, Peter Clamovski bersama Pengarah Teknikal yang baharu, Tan Cheng Hoe. Kedua-duanya tampak seiring dalam misi membina pasukan bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk meninggalkan legasi.

Tan Cheng Hoe yang kembali menyertai skuad negara selepas dilantik dalam peranan baharu, menyifatkan projek ini sebagai sangat mencabar tetapi amat bermakna.

Pengarah Teknikal yang baharu, Harimau malaya Tan Cheng Hoe.

“Saya teruja dengan projek revolusi yang dicetuskan oleh Tunku Ismail.  Ia memberi motivasi kepada saya untuk kembali ke pasukan kebangsaan, dan saya percaya pasukan ini mampu pergi lebih jauh,” kata Tan.

Bagi bekas pengendali Kedah dan Harimau Malaya itu, pengalaman Peter dan pendekatan taktikal moden adalah kunci utama dalam memacu perubahan besar. Apa yang dipamerkan ketika perlawanan menentang Nepal turut menjadi petanda awal kepada corak permainan baharu yang lebih tersusun dan berintensiti tinggi.

“Saya yakin kita akan dapat bawa pasukan ini ke tahap berbeza. Yang penting, semua pihak beri sokongan penuh, dari dalam padang dan luar padang,” tambah beliau.

Dengan falsafah permainan yang segar, gabungan pemain tempatan dan warisan, serta komitmen terhadap pembangunan jangka panjang — Harimau Malaya kini melangkah ke era baharu yang lebih berani dan berwawasan.