SELANGOR FC tidak mahu melepaskan peluang untuk menamatkan kemarau piala apabila berdepan PDRM FC dalam perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup 2024-25 yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.
Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, optimis dengan persiapan pasukan menjelang aksi penting ini walaupun berdepan beberapa cabaran.
Ketika ditanya mengenai persiapan pasukan dan sebarang kecederaan, beliau mendedahkan bahawa hanya seorang pemain yang digantung perlawanan, manakala selebihnya berada dalam keadaan baik.
“Kami hanya mempunyai seorang pemain yang digantung, selain itu hampir semua pemain berada dalam keadaan sihat,” katanya pada sidang media pra perlawanan akhir pada Jumaat.

Selangor FC bakal tampil aksi lebih menarik final kedua Piala Cabaran malam esok. FOTO : SFC
Mengulas lanjut mengenai pendekatan taktikal dalam perlawanan akhir kedua ini, Kinoshi menegaskan bahawa Gergasi Merah akan menampilkan permainan yang lebih tersusun setelah beraksi dengan 10 pemain selama 80 minit dalam perlawanan pertama.
“Dalam perlawanan pertama, kami terpaksa berjuang dengan 10 pemain hampir sepanjang perlawanan. Jadi, esok kami mahu memastikan bermain dengan 11 pemain penuh dan sudah tentu kami mempunyai rancangan tersendiri untuk menentang PDRM FC. Sasaran utama kami tetap untuk memenangi perlawanan ini,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan gaya permainan pasukan dan mengelak daripada serangan balas pihak lawan.
“Kami perlu kekal fokus kepada corak permainan kami dan mengelakkan serangan balas serta kesilapan yang boleh mengundang padah. Ini adalah strategi utama kami, dan tiada perubahan besar yang perlu dilakukan,” tambahnya tidak menolak kemungkinan perlawanan akan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti, tetapi berharap dapat menyelesaikan perlawanan dalam tempoh 90 minit.
Selangor FC kini selangkah untuk meraih kejuaraan Piala Cabaran selepas berjaya menundukkan PDRM FC 3-2 dalam perlawanan akhir pertama minggu lalu.