
PDRM, Perak buntu di Kelana Jaya

HASRAT PDRM FC dan Perak FC untuk memungut tiga mata pertama dalam kempen Liga Super 2023 tidak menjadi kenyataan apabila kedua-dua pasukan terpaksa akur dengan satu mata selepas terikat 0-0 dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Selasa.
Kedua-dua pasukan yang tewas dengan empat gol pada perlawanan pembukaan pada Sabtu mempamerkan aksi yang pantas dan rancak dengan saling berbalas serangan tetapi buntu di hadapan gawang.
Peluang demi peluang terhidang buat PDRM FC terutama menerusi dua pemain import, Bruno Suzuki dan Marcus Pape namun dihampakan penyudah yang tumpul dan dihalang palang gol Perak FC.
LIGA SUPER 2023
FT: PDRM FC 0-0 Perak FC #LigaSuper2023#SangSakaBiru#KejorYobKejor pic.twitter.com/9rCHOy8JBN
— Flash Sukan (@FlashSukan) February 28, 2023
Nasib yang sama turut menimpa skuad Seladang apabila beberapa percubaan yang seharusnya diterjemahkan kepada jaringan gagal disempurnakan Hadi Fayyadh dan Seo Seonung sekaligus mengecewakan 2,250 penyokong yang hadir.
Meskipun dibarisi ramai pemain muda namun anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim mempamerkan aksi yang matang cuma dihampakan pembuatan keputusan terutama ketika di hadapan gawang.
PDRM yang dibarisi pemain senior dan pemain muda menunjukkan mereka mampu untuk memberikan saingan dan perlu lebih tajam terutama di dalam kotak penalti lawan untuk menjaringkan gol.
Keputusan seri ini menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip mata pertama musim ini dan meletakkan Perak di tangga ke-10 manakala PDRM di tangga ke-11 selepas berakhir dua perlawanan.