BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah kini ingin mencipta lebih kemenangan pada masa akan datang ekoran prestasinya yang semakin meningkat naik.
Thinaah berkata, kunci utama kejayaan mereka mencatatkan kejuaraan sulung pada Terbuka Swiss lalu adalah disebabkan komunikasi yang berkesan antara dia dan rakannya Pearly.
“Saya rasa untuk kita berdua ia adalah pencapaian yang baik untuk dicapai ke suku akhir kerana selepas pandemik ia adalah salah satu kejohanan pertama bagi kami. Jadi, untuk bermain dengan baik, kami sangat teruja dan sangat gembira dengan prestasi ini.
“Kita tidak menjangkakan kemenangan semasa Terbuka Swiss tetapi perkara paling penting yang dapat kami atasi adalah komunikasi yang baik antara kami dan sokongan yang kami dapat antara satu sama lain merupakan kunci kejayaan kami dalam kejohanan itu,” ujar Thinaah dalam wawancara bersama BWF.
Sementara itu, Pearly pula berpendapat kejayaan mereka meraih gelaran suulung tersebut adalah disebabkan mereka sentiasa memerah keringat mereka habis-habisan tanpa mengambil kira lawan yang bakal ditempuh.
“Terbuka Swiss adalah gelaran pertama dalam kareer kami, ia juga merupakan motivasi kepada kami. Gelaran pertama yang kami rangkul adalah tidak disangkakan apabila kami terpaksa berhadapan dengan gandingan senior yang juga dari negara sendiri.
“Kita tidak terlalu memikirkan tentang itu, yang berada di pemikiran kami adalah memberikan segala-galanya pda setiap perlawanan. Disebabkan itu, kami berjaya mencipta kejutan dengan gelaran ini,” jelas pemain berusia 22 tahun itu.
Bagaimanapun, mereka mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki terutama semasa di gelanggang, mereka memerlukan lebih kesabaran, kelajuan dan konsitensi ketika berdepan lawan.
Selain itu, mereka turut menganggap acara beregu sebegini memerlukan permainan agresif untuk tempoh sekurang-kurangnya satu jam bagi memastikan tempo kemenangan dapat dijelmakan.
Pearly dan Thinaah merupakan beregu wanita terbaik No. 1 negara, kini menghuni ranking ke-10 dunia sedang mengintai untuk melebarkan sayap kemenangan dalam aksi Petronas Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung di Axiata Arena bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.