
Peluang Lewis Hamilton bangkit semula dari perlumbaan pertama

BEKAS juara dunia 2009 bersama pasukan Brawn GP, Jenson Button menjangkakan Lewis Hamilton untuk kembali bersaing dari perlumbaan pertama untuk mengatasi kekecewaan tahun lalu.
Pasukan Mercedes AMG Petronas menyaksikan kemenangan kejuaraan pengeluar lapan musim berturut-turut berakhir musim lalu di tangan pasukan Red Bull Racing selepas Mercedes gagal memberikan pelumba mereka jentera yang mampu sentiasa memberikan cabaran kepada juara dunia, Max Verstappen.
Juara dunia F1 tujuh kali, Lewis Hamilton tidak dijangka akan ditewaskan oleh rakan sepasukannya George Russell, yang melakukan musim debut bersama Mercedes dan berjaya menamatkan musim dua anak tangga di atas Hamilton.
“Mercedes telah memberikannya kereta juara untuk Hamilton selama beberapa tahun namun tidak untuk musim lalu tetapi mereka tetap berjaya memenangi satu perlumbaan pada penghujung musim yang memberikan tanda mereka masih kuat.
“Saya juga jangkakan Lewis sudah bersedia. Dia mempamerkan aksi yang sangat konsisten dari pertengahan hingga akhir musim dan dia sangat pantas.
“Lewis jugak akan bermula garang dari awal dan saya tidak sabar melihat dia meletakkan tekanan pada George Russell, tetapi ianya adalah gandingan yang baik dan pastinya satu saingan sengit akan berlaku antara kedua-dua pelumba ini,” kata Button.
Hamilton telah berulang kali menyatakan keinginannya untuk menyambung kontrak sedia adanya dengan Mercedes yang bakal tamat pada penghujung musim 2023 namun Button berpesan jika Mercedes gagal memberikannya kereta yang kompetitif, ianya mungkin mengubah fikiran pelumba berusia 38 tahun itu.
“Ianya sesuatu yang kami semua alami pada satu ketika dalam karier dan ianya menjadi salah satu sebab pelumba bersara kerana tidak lagi mendapat kereta yang kompetitif.
“Atas faktor itulah yang mendorong saya bersara. Anda boleh menahan tekanan di sekeliling anda sekiranya mempunyai kereta yang boleh memberikan kemenangan. Jika sebaliknya ianya seperti saya sudah lakukan segalanya, saya sudah bersabar dan saya mahu keluar,” tambahnya yang mengumumkan persaraan pada tahun 2016.
Lewis Hamilton dan Mercedes kini berada di Litar Antarabangsa Bahrain untuk ujian rasmi Formula 1 yang bermula pada Khamis sebelum musim sebenar dimulakan dengan Grand Prix Bahrain pada 3 hingga 5 Mac 2023.