PEMAIN ping pong negara berhak diberi peluang memburu slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dengan disenaraikan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Ketua jurulatih kebangsaan, Beh Lee Wei menegaskan penyertaan di temasya Asiad itu amat penting bagi mengutip mata kelayakan Olimpik yang ketika ini jauh ketinggalan berbanding pencabar serantau seperti Singapore.
Menurutnya, skuad negara tidak perlu melalui proses kelayakan ke Sukan Asia, namun keputusan akhir tetap terletak di tangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Megara (MSN) yang mempunyai kuasa dalam jawatankuasa pemilihan.
“Ping pong tidak dipertandingkan di Sukan Komanwel Glasgow tahun ini jadi kami benar-benar berharap dapat beraksi di Sukan Asia kerana mata ranking itu sangat penting untuk laluan ke Olimpik,” katanya selepas memghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama MSN.

Beh Lee Wei (kiri) mahu MOM dan MSN pertimbang menghantar skuad ping pong ke Sukan Asia.
Lee Wei berkata, kekurangan pendedahan antarabangsa menyebabkan pemain negara mengumpul mata ranking lebih rendah berbanding Singapura dan situasi itu perlu diperbaiki segera.
“Saya harap kami dapat hantar skuad penuh lapan pemain supaya boleh bertanding dalam semua acara termasuk perseorangan, beregu dan berpasukan serta beregu campuran,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau optimis sokongan padu penyokong di laman sendiri mampu menukar dua perak yang diraih di Thailand kepada emas pada Sukan SEA Malaysia tahun depan selepas tewas kepada Singapura dalam final beregu lelaki dan beregu campuran.
Dalam pada itu, Lee Wei turut berkongsi bahawa MSN turut meluluskan program skuad pelapis baharu, sekali gus menyuntik nafas segar buat pembangunan ping pong negara.