MASALAH komunikasi terutama dalam rotasi gelanggang, kesalahan servis serta lambakan unforced error menjadi punca utama Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama Seluruh England di Birmingham.
Beregu campuran negara itu terpaksa akur selepas tewas kepada pasangan Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk 21-18, 12-21, 23-25 dalam pertarungan selama 62 minit yang menyaksikan momentum mereka turun naik.
Tang Jie mengakui strategi lawan menjadi selain kelemahan komunikasi ketika melakukan putaran posisi menyebabkan mereka hilang kelebihan di mata-mata penting.
“Saya rasa komunikasi kami tentang rotation itu kami perlu lebih berkomunikasi dengan pasangan supaya kami jadi lebih ‘straightforward’, itu yang kami perlu belajar daripada perlawanan ini,” kata Tang Jie kepada Peraekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ee Wei pula melihat kecenderungan melambung (lifting) bulu tangkis terlalu kerap mengundang tekanan hingga mereka gagal mengawal rentak sendiri.
“Saya rasa kami terlalu banyak bermain lifting dan itu menyebabkan kami tidak selesa di dalam gelanggang, itu yang perlu kami perbaiki untuk kejohanan seterusnya,” katanya.
Dalam masa sama, Tang Jie tidak menafikan kesalahan servis berulang kali sedikit sebanyak meragut keyakinannya terutama ketika mata genting set penentuan.
“Terlalu banyak service fault yang benar-benar membuatkan saya hilang sedikit keyakinan dan pada mata penting ada kesilapan daripada diri saya sendiri, saya jadi takut kalau itu adalah kesalahan servis,” katanya.
Walaupun kecewa terkandas awal di Birmingham, kedua-duanya sepakat untuk segera bangkit dan menjadikan kekalahan ini sebagai pengajaran menjelang kejohanan seterusnya termasuk Terbuka Switzerland.