
“Pemain usah selesa sangat, tiada jaminan panggilan ke skuad kebangsaan” – KPG

PENGENDALI skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon tidak mahu para pemain berasa selesa dengan tempat yang terjamin dalam skuad kebangsaan tetapi dia mahu mewujudkan persaingan antara pasukan untuk merebut tempat dalam barisan Harimau Malaya.
Selepas menyertai tiga kejohanan, Kelayakan Piala Asia, Piala Raja Thailand dan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Pan-gon kini mempunyai ‘pool’ pemain yang besar sekaligus dapat mewujudkan persaingan antara pemain.
Persaingan dalaman yang sihat ini bakal mewujudkan dua hingga tiga pemain untuk setiap posisi dan perkembangan ini bagus sebagai persiapan Harimau Malaya untuk menghadapi Kejohanan Piala Asia AFC 2024 di Qatar.

Skuad Harimau Malaya ketika Kelayakan Piala Asia
“Skuad Kelayakan Piala Asia pada Jun lalu sangat bagus kerana mereka berjaya tunjukkan yang mereka mampu bersaing terutama ketika dengan Bahrain. Skuad Piala AFF juga bagus meskipun pada peringkat awal kami ada sedikit perasaan bimbang tetapi mereka membuktikan kemampuan dan akhirnya ada pemain yang benar-benar memeranjatkan barisan kejurulatihan.
“Kini kami mempunyai ‘pool’ pemain yang lebih besar untuk wujudkan saingan. Mereka juga tidak akan diberikan jaminan untuk dipilih ke skuad kebangsaan sebaliknya mereka perlu bersaing antara satu sama lain. Ini sangat bagus untuk semua pemain sehingga kami membuat keputusan siapa yang akan dipilih dalam skuad ke Piala Asia,” kata Pan-gon.
Menjawab soalan media mengenai pasukan yang dipilih untuk menjadi lawan Harimau Malaya dalam kalendar Fifa tahun ini, Pan-gon menjelaskan bahawa untuk memastikan ranking Malaysia berada dalam 25 terbaik Asia, dia perlu memilih satu lawan yang kuat dan satu lawan yang sederhana.

Skuad kebangsaan ketika aksi Piala AFF
“Kami sasarkan untuk berada di ranking 25 teratas Asia untuk masuk terus ke peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang bermula November 2023. Kita perlu mencari lawan yang kuat untuk mengekalkan ranking.
Atas sebab itu kami memilih satu pasukan yang kuat dan satu pasukan yang sederhana kerana selain ranking kami perlukan lawan yang mampu berikan saingan kompetitif kepada para pemain,” tambah Pan-gon.
Sebagai permulaan, Harimau Malaya bakal berhadapan Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 27 Mac 2023 dalam dua aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.