KUNJUNGAN Penang FC ke Iskandar Puteri kali ini bukanlah satu tugas mudah apabila dijangka berhadapan dengan skuad baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super 2024-25 yang berlangsung pada Khamis.

Skuad bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu pastinya sedar tugasan sukar sedang menanti mereka di Stadium Sultan Ibrahim apabila bakal menjadi lawan pertama sejak Harimau Selatan bergelar juara Piala FA.

Menambah tekanan, Harimau Kumbang juga akan menjadi pasukan pertama yang akan dihadapi JDT sebagai ujian menjelang aksi pembukaan mereka bertemu Shanghai Port di Pudong untuk aksi Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 minggu hadapan.

JDT mengumumkan kemasukan enam pemain antarabangsa baharu dengan dua penjaga gol, seorang pemain pertahanan, dua pemain tengah dan seorang penyerang yang sudah pun membuktikan kemampuan mereka dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa.

Kemungkinan JDT akan menurunkan barisan permain baharu ini sangat tinggi ekoran pemain-pemain utama yang lain baru sahaja menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan dan sebagai proses penggiliran pemain menjelang jadual yang padat selepas ini.

Penang FC juga bakal menguji ketajaman penyerang baharu dari Australia dan pastinya para penyokong mahu melihat aksi yang mantap ditunjukkan barisan pemain yang beraksi dengan baik setakat lapan perlawanan liga.

Skuad baharu JDT dijangka diturunkan menentang Penang FC

Kali terakhir Penang FC hadir ke Iskandar Puteri mereka tewas 0-8 pada hari terakhir Liga Super musim 2023 dan pastinya Akmal Rizal tidak mahu episod yang sama berulang dengan skuad yang lebih mantap berbanding musim lalu.

Stadium Sultan Ibrahim dijangka bakal dipenuhi penyokong JDT yang merindui aksi kompetitif selepas kali terakhir beraksi pada 9 Ogos lalu dan juga mahu menyambut wira mereka yang muncul juara hatrik Piala FA.

Gandingan lama dan baharu akan menjadi taruhan Hector Bidoglio di kem JDT dan mampukah Harimau Kumbang mengekang terkaman Harimau Selatan, ianya pasti sesuatu yang menarik untuk disaksikan.