FAKTOR kos penganjuran yang tinggi tidak memungkinkan Malaysia menjadi tuan rumah Badminton Jelajah Akhir Dunia.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, mustahil badan induk badminton negara membida menjadi tuan rumah kejohanan itu buat masa ini.
“Buat masa ini, tiada dalam perancangan BAM kerana kos penganjuran yang tinggi dan faktor komersil,” katanya.
Begitupun beliau tidak menafikan peminat amat ghairah mengharapkan kejohanan itu dianjurkan Malaysia.
Kenny turut mengesahkan, negara penganjur Jelajah Akhir Dunia 2022 belum diputuskan selepas China menarik diri.
Sementara itu, beliau berkata, pertukaran status Badminton Terbuka Malaysia kepada Super 1,000 adalah satu penghormatan buat negara.
“Tepat pada masanya memandangkan kita juga sudah memiliki juara dunia.
“Kejohanan ini akan menjadi pembuka tirai kalendar badminton dunia tahun hadapan (2023),” katanya.
Tahun ini, Terbuka Malaysia dikelaskan Super 750, dan perubahan status itu menaikkan kualiti kejohanan kepada kejohanan berkelas Grand Slam.