Selangor FC terus memperkukuh skuad menjelang musim baharu Liga Malaysia 2026/27 apabila mengumumkan kehadiran pertahanan berdarah campuran Jepun-Filipina-Ghana, Jefferson Tabinas sebagai pemain import pertama mereka.

Pemain berusia 28 tahun itu sah menyertai Gergasi Merah selepas menamatkan tempoh semusim bersama kelab Thailand, Chonburi FC, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya apabila bakal beraksi buat kali pertama di Liga Malaysia.

Pengumuman perpindahan Tabinas dibuat oleh pengurusan Selangor FC menerusi semua platform rasmi kelab pada Rabu, menjadikannya rekrut keempat pasukan bagi menghadapi kempen baharu.

Menurut Tabinas, reputasi besar Selangor FC serta hala tuju jelas kelab menjadi faktor utama yang mendorongnya menerima tawaran menyertai skuad Merah Kuning.

Katanya, selepas meneliti lebih dekat budaya kelab, kekuatan penyokong dan visi jangka panjang pasukan, beliau yakin Selangor merupakan destinasi terbaik untuk meneruskan kariernya.

“Selangor FC adalah sebuah kelab yang mempunyai sejarah besar, penyokong yang luar biasa dan cita-cita yang tinggi. Itu antara sebab utama saya memilih untuk datang ke sini,” katanya.

Pemain antarabangsa Filipina itu juga berharap pengalaman luas yang diraih ketika beraksi di Jepun dan Thailand dapat membantu Selangor mencapai sasaran lebih besar musim ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Kim Pan-gon percaya pengalaman dan fleksibiliti Tabinas bakal menjadi aset penting buat pasukan, terutama dalam memperkukuh benteng pertahanan.

“Jefferson mempunyai pengalaman luas di dua liga kompetitif Asia. Selain disiplin taktikal yang tinggi, beliau juga bijak membuat keputusan ketika menguasai bola dan mampu beraksi di beberapa posisi. Kehadirannya pasti memberikan nilai tambah kepada pasukan,” kata Pan-gon.

Selain itu, bekas pemain Penang FC, Adib Raop turut menyertai pasukan Merah Kuning selepas Selangor menandatangani kontrak bersama pasukan itu.