AKSI sengit di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras antara KL City FC dan Sabah FC berakhir dengan insiden tegang apabila pergaduhan tercetus di luar perkarangan stadium, malam tadi.

Pertemuan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 itu bertukar kecoh selepas penonton bersurai, dengan kawasan parkir berhampiran medan makan ‘food truck’ menjadi lokasi tumbuk menumbuk dan balingan kerusi.

Walaupun tidak dapat dipastikan kumpulan penyokong mana yang memulakan kekecohan, rakaman video menunjukkan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 individu terlibat dalam pergelutan tersebut. Pihak polis yang berada di lokasi segera menghampiri bagi meredakan keadaan, namun kesemua mereka sempat melarikan diri sebelum dapat ditahan.

Di atas padang, KL City yang terlebih dahulu di hadapan terpaksa akur apabila Sabah menyamakan kedudukan di hujung permainan.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata, dengan The City Boys bakal berkunjung ke Kota Bharu menentang Kelantan The Real Warriors pada pusingan 16 terbaik Piala FA, Isnin ini, manakala Sabah berdepan pasukan Liga A1, Bunga Raya FC, Ahad ini.