KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac mengakui keadaan padang tiruan di Stadium Jalan Besar menyukarkan permainan pasukannya namun dia gembira dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya.

Ketiadaan beberapa tonggak utama juga dilihat menjadi punca pasukannya tidak mampu melancarkan serangan berbahaya tetapi pengendali asal Croatia itu mengakui peluang buat Kuala Lumpur City masih terbuka untuk layak sebagai dua pasukan terbaik.

Skuad The City Boys tewas kepada Lion City Sailors menerusi jaringan Bailey Wright dan Maxime Lestienne sekali gus kekalahan pertama dalam Piala Shopee 2024-25 dan kini menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B.

“Kami mengalami masalah dengan padang di stadium ini tetapi kami masih berpeluang dengan berbaki dua lagi perlawanan yang penting dan berharap skuad akan bertambah baik dengan pasukan yang lengkap selepas ini.

“Saya tidak menjangka kami akan bolos menerusi sepakan sudut kerana kami sudah melakukan persiapan tentangnya tetapi ini lah bola sepak, perkara yang tidak dijangka boleh berlaku selain kami juga tidak berjaya menggerakkan bola ke hadapan lebih cepat,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kuljanac juga menolak faktor rehat yang panjang sebagai salah satu punca kekalahan sebaliknya mahu pasukannya bangkit dengan skuad yang lengkap pada baki dua perlawanan akan datang.

“Rehat panjang bukan faktor tetapi kami perlu hadapi jadual yang agak janggal kerana sebelum ini kami beraksi lima perlawanan dalam 21 hari termasuk tiga aksi bertemu JDT dan kemudian berehat selama 19 hari.

 

“Kami masih berpeluang dan akan gunakan kelebihan di laman sendiri untuk mengutip tiga mata keatas lawan dari Vietnam sebelum berdepan Buriram United di Thailand,” jelasnya.

KL City kini akan berdepan Selangor FC dalam aksi Liga Super dengan sekali lagi cuba mencipta kemenangan dalam aksi Derbi Lembah Klang selepas mengutip tiga mata di tempat sendiri tahun lalu.