KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahukan aksi yang konsisten daripada barisan pemainnya sekiranya Skuad Badak mahu mencabar kejuaraan liga daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimana pun beliau mengakui tersapat beberapa lagi kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menerusi pusingan kedua liga selepas ini.
Kim Swee juga mahu menggunakan tempoh rehat hampir dua minggu untuk memperbaiki kelemahan pasukan untuk menghadapi cabaran lebih besar pada pusingan kedua liga nanti.
“Empat mata dari dua perlawanan liga di tempat lawan adalah satu keputusan yang bagus namun untuk mencabar kejuaraan, kami perlu memastikan persembahan kami lebih konsisten.
“Kejayaan kami untuk kekal tidak dibolosi pada babak pertama memberikan keyakinan kepada pemain hingga berjaya mempertahankan gawang pasukan sehingga tamat perlawanan.
“Dalam setiap perlawanan akan ada kelemahan dan kita akan terus berusaha memperbaikinya kerana pasukan akan menghadapi cabaran lebih besar selepas ini dalam pusingan kedua liga,” jelas Kim Swee.
Dalam pada itu, Kim Swee juga menyeru kepada semua penyokong Sabah supaya hadir beramai-ramai ke stadium ketika perlawanan menentang JDT untuk memberikan motivasi kepada pada pemainnya.
Sabah FC kini mempunyai rehat selama 12 hari sebelum bertemu JDT pada 15 Julai nanti dalam pertemuan yang bakal menentukan siapa akan menduduki tangga teratas liga.