PENGENDALI Hougang United, Marko Kraljevic mengakui pasukannya tidak mampu menyaingi Sabah FC dalam setiap posisi ketika perlawanan pertama Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Hougang United tewas 1-3 dalam perlawanan itu namun dia tidak kesal dengan kekalahan ini sebaliknya melihat banyak perkara positif yang diperolehi para pemainnya di kejohanan ini yang boleh digunakan ketika pertandingan domestik.
“Pertama sekali, tahniah kepada Sabah kerana mereka adalah pasukan yang lebih baik dari kami. Mereka menekan kami sejak dari awal permainan dan kami sememangnya ‘second best’ dalam semua bahagian di perlawanan ini.
“Kami cuba bangkit pada babak kedua dan berjaya jaringkan gol yang dilihat mampu membantu kami bangkit tetapi saya sedikit ralat kerana melepaskan gol ketiga yang terlalu dekat dengan gol kami.
“Banyak perkara positif yang diperolehi dari perlawanan ini dengan para pemain bertuah kerana dapat bermain dengan pasukan yang lebih baik dan saya rasa mereka sudah berikan segala-segalanya tetapi seperti saya katakan, Sabah adalah pasukan yang lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Marko juga tidak mahu mengulas tentang keadaan padang kerana cuaca hujan yang melanda Kota Kinabalu sejak petang berada di luar kawalannya tetapi menganggap ianya sebagai satu kelebihan buat Sabah.
Dua jaringan daripada Darren Lok dan satu daripada Gabriel Peres memberikan kekalahan kepada Hougang United dalam perlawanan pertama ini dan mereka mahu bangkit dalam perlawanan kedua menentang wakil Vietnam, Haiphong FC di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 5 Oktober nanti.