KEJUARAAN Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022 sampai ke kemuncak apabila Melaka United berjaya mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Fatin Shahida muncul wira buat Melaka United selepas jaringan tunggalnya memberikan kemenangan sekaligus merangkul piala yang menjadi rebutan lapan pasukan yang bertanding.

Perlawanan berlanjutan hingga masa tambahan selepas kedudukan 0-0 kekal dalam 90 minit masa permainan biasa sebelum Fatin menggegarkan gawang Negeri Sembilan pada minit ke-115.

 

Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun ketumpulan barisan serangan menyaksikan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat 90 minit permainan.

Ketika perlawanan dilihat sudah hampir pasti ditentukan oleh penentuan penalti, Fatin Shahida berjaya menolak bola masuk ke gawang Negeri Sembilan lima minit sebelum tamat masa tambahan untuk memberikan kelebihan buat Melaka United.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat sekaligus mengesahkan kejuaraan buat Melaka United untuk kali kedua berturut-turut sejak pertandingan bola sepak wanita ini diperkenalkan pada 1976.

Meskipun tewas, pemain Negeri Sembilan, Henrietta Justine berjaya muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol dari lima perlawanan dan penjaga gol, Ezza Ashikin pula dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Fatin Shahida pula dipilih sebagai pemain terbaik PTSR 2022 dengan Melaka United membawa pulang wang tunai RM50,000 manakala Negeri Sembilan menerima RM30,000 sebagai naib juara serta Sabah memenangi RM20,000 sebagai pemenang tempat ketiga.