BEKAS pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei tampil dengan pesanan jujur — Pearly Tan dan M Thinaah lebih sesuai kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, berada dalam sistem BAM bukan sekadar soal latihan, tetapi jaminan kemudahan, pengurusan kejohanan, penjagaan kecederaan dan hala tuju kerjaya, lebih tersusun.

“Dalam BAM, pemain cuma perlu fokus kepada latihan dan prestasi. Soal logistik, jadual, tempat tinggal semua beres. Itu kelebihan besar,” katanya, yang cukup arif dengan kehidupan atlet profesional.

Khe Wei menjelaskan, menjadi pemain bebas bukan sekadar bebas memilih kejohanan, tapi juga bebas daripada sokongan baik jurulatih, perubatan, dan disiplin harian.

“Bila penat, senang sangat nak ‘ponteng’ latihan kalau tanpa pemantauan. Kalau cedera pula, semuanya kena tanggung sendiri. Tak semudah dalam BAM,” katanya.

Malah, beliau turut mengingatkan bahawa tekanan tetap ada, sama ada di dalam atau luar BAM — bezanya cuma dari siapa tekanan itu datang.

“Kalau dalam BAM, tekanan dari pengurusan. Kalau bebas, tekanan datang dari penaja. Kalau tak perform, penaja pun boleh angkat kaki,” tegas Khe Wei yang pernah beraksi di suku akhir Olimpik Rio bersama Vivian Hoo.

Bagi Khe Wei, dengan Rosman Razak kini kembali ke BAM, peluang Pearly-Thinaah untuk melonjak lebih tinggi dalam sistem sedia ada jauh lebih cerah — lebih selamat dan lebih stabil.