PENYANDANG juara, Perancis menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas England dalam aksi suku akhir di Stadium Al Bayt, Al Khor, awal pagi Ahad sebentar tadi.

Gol sumbangan Aurelien Tchouameni dan satu gol lagi menerusi penyerang veteran, Olivier Giroud sudah cukup buat Les Bleus mara ke fasa empat pasukan terbaik edisi kali ini.

Dalam perlawanan itu, Tchouameni membawa Perancis di hadapan pada minit ke-17 dengan rembatan dari luar kotak penalti. England kemudian kelihatan dominan, tetapi gagal menjaringkan gol sehingga separuh masa.

Perancis mendapat peluang pertama pada minit ke-11. Ousmane Dembele melakukan hantaran dari sebelah kanan dan disambut oleh Olivier Giroud dengan tandukan namun diselamatkan Jordan Pickford.

Perancis membuka tirai jaringan pada minit ke-17. Aurelien Tchouameni merembat kencang dari luar kotak penalti dan bola menuju ke sudut kiri gawang tanpa dapat dicapai oleh Pickford.

England mendapat sepakan percuma di hadapan kotak penalti Perancis. Tendangan Luke Shaw melepasi benteng dan menuju tepat ke arah Hugo Lloris.

England menunjukkan tindak balas positif selepas dibolosi. The Three Lions terus memberikan tekanan dan kali ini giliran Harry Kane untuk mendapatkan peluang. Tetapi percubaan Kane dihalang oleh Lloris.

Kane mendapat ruang di hadapan kotak penalti dan cuba merembat. Bola terkena pemain Perancis dan Lloris menepisnya.

England terus mendominasi sejak dibolosi. Bagaimanapun, mereka gagal menyumbat jaringan ke gawang Perancis sehingga separuh masa pertama tamat.

 

 

The Three Lions mendapat penalti pada minit ke-52 selepas Tchouameni mengasari Bukayo Saka dan mudah bagi Harry Kane menyamakan kedudukan menjadi 1-1.

Perancis segera cuba membalas. Adrien Rabiot melepaskan rembatan yang ditepis oleh Pickford pada minit ke-55. Selepas itu, Kylian Mbappe berpeluang mencipta jaringan.

England juga tidak berhenti memberikan ancaman. Kerjasama Kane, Saka dan Bellingham meletakkan barisan belakang Perancis terus diuji.

Harry Maguire mempunyai peluang lagi untuk menjaringkan gol pada minit ke-70. Tendangannya melencong dari sasaran. Dua minit kemudian Bukayo Saka menyambar bola dari sebelah kiri dan hampir menjaringkan gol.

Memasuki minit ke-77, peluang Giroud dinafikan oleh Pickford. Hanya seminit kemudian, Giroud memecah masuk ke gawang Pickford dengan memanfaatkan hantaran Antoine Griezmann. Perancis kembali mendahului.

Reaksi wajah Olivier Giroud yang ‘puas’ apabila Harry Kane terlepas sepakan penalti.

England mendapat satu lagi penalti pada minit ke-82 selepas Theo Hernandez mengasari Mason Mount. Kane mara semula sebagai penendang, kali ini rembatannya meliar dari gawang.

Peluang keemasan menerusi sepakan percuma Marcus Rashford pada saat-saat akhir perlawanan juga tidak dapat disempurnakan dengan sempurna.

Perancis mendapat tiket ke separuh akhir dan anak buah Didier Deschamps akan bertemu Maghribi.

 

England: Jordan Pickford; Kyle Walker, John Stones, Harry Maguire, Luke Shaw; Jordan Henderson, Declan Rice, Jude Bellingham; Bukayo Saka, Harry Kane, Phil Foden

Perancis: Hugo Lloris; Jules Kounde, Raphael Varane, Dayot Upamecano, Theo Hernandez; Aurelien Tchouameni, Adrien Rabiot; Ousmane Dembele, Antoine Griezmann, Kylian Mbappe; Olivier Giroud