AKSI suku akhir antara Maghribi dan Portugal di Stadium Al Thumama pada Sabtu semestinya menjadi perhatian para penyokong bola sepak dunia selepas apa yang telah dilakukan Maghribi setakat ini.

Skuad Maghribi telah menjadi cerita gembira di Piala Dunia FIFA Qatar 2022 ini dan tidak ada pasukan yang mendapat lebih mata daripada pasukan utara Afrika itu yang menjuarai Kumpulan F dengan tujuh mata.

Maghribi mula mendapat perhatian apabila menampilkan persembahan cemerlang di peringkat kumpulan apabila menewaskan pasukan pilihan Belgium 2-0.

 

Selepas itu, Maghribi melaksanakan pelan permainan yang sempurna untuk memerangkap Sepanyol pada pusingan 16 terbaik dengan mengheret perlawanan ke penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan.

Akhirnya, Maghribi berjaya memenangi penentuan penalti dengan penjaga gol mereka berjaya menafikan kesemua sepakan penalti Sepanyol untuk layak ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.

Sementara itu lawan mereka di suku akhir, Portugal pula berjaya layak lebih awal dari Kumpulan H dengan dua kemenangan keatas Uruguay dan Ghana serta satu kekalahan kepada Korea Selatan.

 

Di pusingan kalah mati Portugal menyajikan aksi yang sangat mengujakan apabila menewaskan Switzerland 6-1 meskipun tanpa kelibat ayam tambatan, Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama.

Dengan tempat ke separuh akhir Piala Dunia menjadi tarahun, pertembungan kedua-dua pasukan ini pastinya tertumpu kepada kelicikan barisan tengah mengatur gerak dan kekentalan barisan pertahanan untuk menangkis serangan terutama serangan balas.

Tiga pemain Maghribi, Sofyan Amrabat, Abdelhamid Sabiri dan Romain Saiss serta lima pemain Portugal, Danilo Pereira, Bruno Fernandes, Ruben Neves, Joao Felix, Ruben Dias masing-masing perlu lebih berhati-hati kerana mempunyai satu kad kuning yang mungkin akan menyebabkan mereka terlepas aksi separuh akhir jika berjaya layak.

Skuad Maghribi mahu teruskan kejutan.

Di atas kertas, Portugal dilihat berkelebihan untuk layak ke separuh akhir sebelum berpeluang mencipta sejarah layak ke final buat kali pertama dan mereka pastinya mahu menerusi kemaraan ini.

Walau apapun keputusannya, ini sudah pun menjadi persembahan terbaik Maghribi di Piala Dunia apabila menjadi negara Arab pertama layak ke suku akhir dan kini berpeluang untuk mencipta sejarah untuk menjadi pasukan Afrika pertama yang layak ke separuh akhir.

Bagi Portugal pula, ini adalah kali ketiga mereka layak ke suku akhir Piala Dunia selepas menamatkan saingan di tangga ketiga pada 1966 dan tempat keempat pada 2006 dan Cristiano Ronaldo sudah pasti mahu melengkapkan koleksi pialanya dengan menjulang Piala Dunia.

Pemenang pertemuan ini akan berhadapan pemenang antara Perancis dan England di separuh akhir namun masih ada satu lagi tugas yang perlu diselesaikan sebelum ke peringkat seterusnya.

Barisan kemungkinan kedua-dua pasukan:

Maghribi (4-3-3): Bounou, Hakimi, Aguerd, Saiss, Mazraoui; Amrabat, Amallah, Ounahi, Ziyech, En-Nesyri, Boufal.

Portugal (4-2-3-1): Costa, Dalot, Pepe, Dias, Guerreiro; Carvalho, Otavio; Silva, Fernandes, Felix; Ramos.