EMPAT gol mudah diberikan skuad hoki 5 sebelah (5s) wanita negara kepada Fiji, hampir meragut peluang ke suku akhir Piala Dunia Hoki 5s namun bernasib baik kerana perlawanan berakhir dengan keputusan seri 4-4.

Perlawanan terakhir Kumpulan A yang berlangsung di Muscat, Oman, itu menyaksikan pasukan negara melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.

Ketua jurulatih Nabil Fiqri Mohd Noor berkata, skuad negara mencapai sasaran ke suku akhir, namun prestasi ditunjukkan pemain ketika menentang Fiji bukan aksi terpuji.

Pemain negara, Syafiqah Zain cuba menghalang pemain Fiji daripada mengasak gawang negara. |Foto FIH

“Empat gol yang kita lepaskan ketika menentang Fiji adalah gol mudah atas kesilapan pemain kita.

“Kita perlu perbetul kesilapan ini sebelum menentang Afrika Selatan, di suku akhir esok,” kata Nabil, selepas tamat perlawanan.

Biarpun Malaysia terikat empat mata dengan Fiji namun berjaya mengakhiri saingan peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang Belanda, dengan kelebihan perbezaan jaringan, berbanding Fiji.

Skuad negara membuka tirai saingan dengan melakar kemenangan bergaya 10-0 ke atas Oman sebelum tewas 0-10 kepada Belanda dalam dua aksi pertama kumpulan yang berlangsung, semalam.

Malaysia akan bertemu Afrika Selatan selaku juara Kumpulan B pada aksi suku akhir, esok.

“Kami gembira kerana berjaya melayakkan diri ke suku akhir pada penampilan pertama kami di Piala Dunia.

“Kami menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar untuk kami pada pertemuan dengan Afrika Selatan tetapi kami akan buat persiapan terbaik. Kami berharap rakyat Malaysia akan terus beri sokongan kepada kami dan mendoakan kami berjaya mara ke separuh akhir,” kata penyerang skuad negara, Nur Zafirah Aziz.

Skuad negara mempamer kesungguhan menghalang pemain Fiji. |Foto FIH

Terdahulu, aksi bertemu Fiji menyaksikan Malaysia dikejutkan dengan gol pendahuluan lawan menerusi Lora Bukalidi seawal minit kedua sebelum Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri menyamakan kedudukan buat skuad negara menerusi challenge gol pada minit ke-15.

Bagaimanapun, Fiji kembali di depan menerusi dua gol Melba Nautu dan Tiara Dutta masing-masing pada minit ke-18 dan 20 tetapi ia tidak bertahan lama apabila Ellya Syahirah Ellias dan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri meledak gol buat Malaysia untuk mengikat kedudukan 3-3 berselang dua minit kemudian.

Malaysia menyalakan harapan untuk memenangi perlawanan apabila Qhairunisya Mohd Zanili meledak gol keempat pasukan bagi mendahulu permainan pada minit ke-23 tetapi ia berjaya dipadam Lala Ravatu yang menjaringkan gol penyamaan buat Fiji seminit kemudian untuk mengikat keputusan 4-4 sehingga tamat perlawanan.