PASUKAN Malaysia sekali lagi mencipta sejarah dalam arena e-sukan bola sepak apabila pasukan FAM eRimau berjaya melayakkan diri ke dua daripada tiga kategori utama dalam FIFAe Finals 2025 iaitu FIFAe World Cup Ft. eFootball Mobile dan FIFAe World Cup Ft. Rocket League, menjadikan Malaysia antara tiga negara di dunia yang layak ke dua kategori sekaligus.
Skuad eFootball Mobile FAM eRimau mara selepas menewaskan Brunei Darussalam 5-4 dalam perlawanan penentuan. Di bawah bimbingan jurulatih Shaharil Shaifuddin Shaharuddin, pasukan ini dibarisi pemain hebat seperti Ahmad Muhaimin (Minbappe, Todak), Zikri Zulzariq Ikhmal (Gege, Homebois), Ahmad Najimie (Tengku Mie), dan Muhammad Hafiz Norhadi (Derhaka, WPS). Mereka kini bersiap sedia untuk mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi tahun lalu.
Bagi kategori Rocket League, trio Sphinx (Nik Aiman Hakim Nik Azhar), Misty (Thirshernn Raaj), dan Joe (Kel Joe Ang) memastikan slot ke kejohanan dunia selepas menewaskan Indonesia 4-1 dalam siri Best-of-7. Walaupun tewas pada perlawanan pertama, mereka bangkit dengan empat kemenangan berturut-turut untuk menamatkan aksi dengan penuh bergaya.
FIFAe Finals 2025 akan berlangsung di SEF Arena, Riyadh dari 10 hingga 19 Disember. Tiga trofi utama bakal dipertandingkan iaitu Rocket League (15–19 Disember), eFootball Console (10–13 Disember), dan eFootball Mobile (10–13 Disember). Malaysia akan beraksi dalam dua kategori tersebut dengan harapan mempertahankan kejuaraan Mobile dan mencipta sejarah baharu dalam Rocket League.
Majlis undian rasmi akan diadakan pada 12 November, jam 8 malam dan boleh ditonton secara langsung di FIFA.GG serta saluran FIFAe di Twitch dan YouTube. Undian ini akan menentukan laluan awal pasukan negara dalam peringkat kumpulan.
Edisi tahun ini mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah, dengan 94 negara mengambil bahagian di peringkat kelayakan. Riyadh bakal menjadi tumpuan dunia bukan sahaja untuk kejohanan ini, tetapi juga bagi Sidang Kemuncak Bola Sepak Esukan (Football Esports Summit) yang berlangsung dari 17 hingga 19 Disember.
Sebagai juara bertahan eFootball Mobile dan wakil kuat dalam Rocket League, FAM eRimau membawa harapan rakyat Malaysia untuk terus mengharumkan nama negara di pentas dunia dan kini semua mata kini tertumpu ke Riyadh apabila skuad negara bersedia menulis satu lagi sejarah baharu.