PRESIDEN Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid menegaskan bahawa saingan MFL Challenge Cup tetap memiliki kepentingan tersendiri meskipun dianggap sebagai kejohanan kelas kedua.

Beliau mahu Selangor FC memberikan fokus sepenuhnya dan menjadikan piala ini sebagai sasaran untuk musim ini.

“Walaupun dianggap sebagai kejohanan tahap kedua, ia masih dianjurkan oleh Malaysian Football League (MFL) dan tetap mempunyai prestij tersendiri. Selangor FC perlu menjadikannya sebagai sasaran dan bukan sekadar melengkapkan jadual,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Mohd Faizal turut mengingatkan bahawa Selangor sudah terlalu lama tidak meraih kejuaraan di peringkat domestik, walaupun pernah berjaya dalam kejohanan jemputan luar negara seperti Piala Sultan Selangor dan kejohanan jemputan RCTI Premium Sports di Indonesia.

“Betul, Selangor ada menang Piala Sultan Selangor dan juga kejohanan jemputan di Jakarta, tetapi dalam liga tempatan, kita sudah kemarau trofi lebih 10 tahun! Kita mesti menang musim ini,” tegasnya dengan penuh keyakinan.

Selangor FC kali terakhir meraih kejuaraan tempatan pada tahun 2015 (Piala Malaysia) dan sejak itu hanya muncul sebagai pencabar tanpa sebarang piala utama dalam koleksi mereka.

Peluang mengakhiri kejuaraan boleh dinoktahkan apabila pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi bertemu juara bertahan MFL Challenge Cup, PDRM FC di pentas final pada pada 15 Februari di Stadium MBPJ sebelum aksi timbal balik berlangsung di Stadium Selayang, Selangor seminggu kemudian.

Selain itu, Mohd Faizal turut menegaskan kepentingan menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua bagi memastikan slot ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) terjamin.

“Sasaran utama kita adalah untuk kekal di tempat kedua Liga Super. Ini bukan sekadar kedudukan dalam liga, tetapi ia memberikan peluang ke pentas Asia. Jika mahu kembali ke zaman kegemilangan, kita tidak boleh terlepas slot ACL 2 ini,” katanya lagi.

Dengan saingan Liga Super semakin sengit, Red Giants tidak boleh leka dan perlu terus konsisten dalam baki perlawanan musim ini. Ketika ditanya mengenai kemerosotan jumlah penyokong ke stadium, beliau mengakui bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan situasi ini berlaku.

“Ada banyak faktor. Isu kewangan penyokong, jadual perlawanan yang kerap ditunda, serta kesukaran mendapatkan masa yang sesuai untuk ke stadium. Semua ini membuatkan penyokong semakin malas untuk hadir,” jelasnya.

 

Beliau turut menegur penganjur liga, MFL supaya lebih peka dalam menetapkan jadual perlawanan.

“Faktor waktu perlawanan juga memainkan peranan penting. Jika perlawanan dimainkan pada sebelah petang, ramai penyokong yang masih sibuk bekerja. Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh MFL,” katanya.

Dengan cabaran semakin besar, Mohd Faizal menegaskan bahawa Selangor FC tidak boleh berpuas hati hanya dengan prestasi yang stabil. Mereka perlu melangkah lebih jauh dan menjadikan musim ini sebagai titik perubahan dengan membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala.

“Kita sudah lama menunggu. Tiada alasan lagi. Pemain, pengurusan dan penyokong perlu bersatu untuk memastikan kemarau trofi domestik berakhir,” katanya.