PENGENDALI Johor Darul Ta’zim II, Juan Miguel Munoz Rodriguez berpuas hati dengan kemenangan yang dicapai anak-anak buahnya selepas menewaskan Sabah 3-0 dalam aksi pembukaan Piala MFL 2024-25 pada Isnin.
Dalam aksi di Stadium Pasir Gudang itu, hatrik dari penyerang, Gabriel Nistelrooy memberikan tiga mata penting buat naib juara musim 2023 itu dan Juan Manuel mahu menggunakan kemenangan ini sebagai pemangkin semangat menghadapi musim liga yang panjang.
“Gembira kerana pemain saya menunjukkan aksi yang sangat bagus terutama dalam perlawanan pertama yang sentiasa sukar dengan Sabah juga memberikan cabaran yang hebat tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kemenangan ini.

Gabriel Nistelrooy meledak hatrik buat JDT II (kredit foto: JDT)
“Walaupun meraih tiga mata, kami masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan terutama dalam pergerakan bola yang kadang kala terlalu pantas namun kami akan belajar dan tampil lebih baik selepas ini,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu pengendali Sabah B-23, Johnny Dominicus menjelaskan pasukannya akhirnya menemui lawan yang sebenar selepas hanya dapat menjalani latihan pramusim bersama pasukan tempatan sahaja dan mahu para pemainnya belajar dari kekalahan ini.
“Persembahan bagus tetapi akhirnya kita sudah dapat saingan sebenar dan belajar dari sini kerana kita lepaskan gol hasil kesilapan kita. JDT adalah pasukan yang sukar tetapi kita dapat bersaing dan kurangkan defisit dari tahun lalu serta kami perlu perbaiki untuk perlawanan akan datang,” jelasnya.

Skuad Sabah perlu belajar dari perlawanan ini (kredit foto: JDT)
Kemenangan itu meletakkan JDT II di tangga teratas Piala MFL manakala Sabah pula kini di tangga tercorot liga yang melibatkan 13 pasukan itu. Dua lagi keputusan lain menyaksikan juara bertahan Terengganu FC II diikat Negeri Sembilan di Kuala Terengganu manakala PDRM meraih kemenangan 2-1 keatas Penang FC 2 di Selayang.