MALANG menimpa kem bola sepak Singapura apabila kehilangan dua pemain tonggak, Ikhsan Fandi dan Adam Swandi menjelang aksi sepak mula Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang menerusi satu kenyataan media mengatakan kedua-dua pemain ini terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut yang dialami ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Maldives.

Kedua-dua pemain itu telah dibawa ke hospital untuk penilaian awal selepas perlawanan dan ketika mereka sedang menerima prosedur susulan, mereka disahkan tidak akan sempat pulih sepenuhnya sebelum kejohanan AFF bermula.

Ketua Jurulatih Singapura, Takayuki Nishigaya simpati dengan apa yang melanda kedua-dua pemain itu selepas komitmen yang ditunjukkan mereka sepanjang kem latihan dan akan menilai semula pilihan lain untuk mengisi tempat yang ditinggalkan dua tonggak itu.

“Ianya adalah suatu perkara yang mahu kita elakkan tetapi ianya telah terjadi kepada Ikhsan dan Adam yang kini tidak dapat bersama pasukan ke kejohanan AFF. Mereka telah bekerja keras bersama-sama rakan sepasukan yang lain sepanjang tempoh persiapan dan saya bersimpati dengan mereka.

“Kedua-dua mereka mempunyai mentaliti dan komitmen yang baik dan saya percaya mereka akan kembali lebih kuat selepas ini. Saya juga akan menilai semula pilihan yang ada dalam skuad dan yakin pemain lain mampu untuk melaksanakan pelan yang telah kami rancang.

“Kecederaan adalah sebahagian daripada bola sepak dan saya yakin dengan semangat berpasukan yang ada dalam skuad, kami akan dapat mengatasi halangan ini dan kembali fokus kepada apa yang kami perlu lakukan untuk menghadapi kejohanan dwi tahunan ini,” katanya.

Singapura, juara empat kali Piala AFF bakal bertemu Laos, Vietnam, Myanmar dan Malaysia dalam aksi Kumpulan B dengan perlawanan menentang Myanmar dan Vietnam bakal berlangsung di Stadium Jalan Besar.