Pengadil dari Malaysia terus kempunan untuk tampil di pentas Piala Dunia FIFA 2026 apabila tiada wakil negara disenaraikan dalam barisan rasmi pegawai perlawanan oleh FIFA.
Situasi itu menyaksikan sudah 16 tahun pengadil Malaysia tidak terpilih untuk bertugas dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia sejak edisi 2010.
Lebih mengecewakan, bukan sahaja tiada pengadil utama atau penolong pengadil dipilih, malah tiada wakil negara turut disenaraikan sebagai pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR).
Nama Nazmi Nasaruddin yang sebelum ini dilihat antara calon berpotensi juga gagal menembusi senarai akhir, sekali gus menutup peluang Malaysia untuk kembali mewarnai pentas Piala Dunia.
Sehingga kini, Subkhiddin Mohd Salleh kekal sebagai satu-satunya wakil negara yang pernah terpilih ke Piala Dunia apabila dilantik sebagai pegawai keempat pada edisi 2010 di Afrika Selatan.
Ketiadaan wakil Malaysia dalam semua kategori pegawai perlawanan jelas menimbulkan persoalan mengenai tahap perkembangan dan daya saing pengadil tempatan di peringkat antarabangsa.
Perkembangan ini juga memberi isyarat bahawa usaha memperkasa kualiti pengadilan negara perlu dipertingkatkan secara menyeluruh jika mahu kembali bersaing di pentas tertinggi dunia.