JUSTIN Hoh, Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal Nazri bersedia diturunkan pada aksi getir menentang Denmark esok, pada perlawanan penentuan juara kumpulan D, saingan Piala Thomas, yang berlangsung di Chengdu, China.

Mereka yang kali pertama berada dalam skuad Piala Thomas mengakui tidak gentar menghadapi saingan berpasukan itu, meskipun menyedari pemain lawan memiliki kelebihan dari segi ranking dan juga pengalaman.

“Jika ada peluang menentang Denmark, saya nak main kerana saya teruja sangat nak melawan mereka.

“Tiada apa yang istimewa cuma saya perlu persiapkan diri dengan sehabis baik dan sentiasa bersedia,” kata Justin.

Justin sudah beraksi dalam dua perlawanan ketika menentang Hong Kong dan Algeria dan memenangi kedua-duanya.

Justin Hoh mempamerkan kematangan dan tenang mengurus tekanan sebagai pemain terakhir turun ke gelanggang,

Dia yang berada di ranking ke-232 dunia, menang 21-17, 19-21, 21-17 ke atas Chan Yin Chak yang berada di ranking ke-91 dunia.

Pada perlawan menentang Mohamed Abderrahime Belarbi (Algeria), dia yang bermain sebagai perseorangan ketiga sekali lagi cemerlang menang 21-10, 21-14.

Sementara bagi Haikal, keputusan menentang pemain Algeria tidak boleh dijadikan ukuran untuk melayakkan dia dan Hon Jian beraksi pada perlawanan menentang Denmark.

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri teruja menjelang pertemuan menentang Denmark.

“Lawan kami bukanlah pasangan yang kuat dan saya ridak rasa wujud saingan antara kami bagi mendapatkan kedudukan sebagaia beregu kedua kerana kami datang sebagai satu pasukan,” kata Haikal.

Hon Jian pula berasakan bahawa: “Kami sentiasa bersedia untuk bermain dan akan memberi yang terbaik, tetapi kalau tak diturunkan, kami akan menyokong rakan sepasukan sepenuhnya.”

Gandingan hon Jian-Haikal beraksi sebagai beregu pertama ketika menentang Algeria, manakala kapten, Soh Wooi Yik digandingkan bersama Nur Izzuddin Rumsani, turun sebagi beregu kedua.

Hon Jian-Haikal menang ke atas Sifeddine Larbaoui-Mohamed Abdelaziz Ouchefoun 21-8, 21-13.