SKUAD badminton wanita negara meneruskan aksi cemerlang apabila membenam Afrika Selatan 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala Uber 2026 di Horsens, sekali gus mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir untuk kali pertama dalam 16 tahun.
Malaysia tidak berdepan masalah besar apabila barisan perseorangan membuka laluan kemenangan dengan cukup dominan sejak awal perlawanan.
Mata pertama disumbangkan oleh K. Letshanaa yang mudah menewaskan Johanita Scholtz 21-6, 21-10 dalam tempoh 22 minit untuk meletakkan Malaysia di hadapan.
Wong Ling Ching kemudian menggandakan kelebihan negara selepas mencatat kemenangan straight set ke atas Chloe Lai 21-8, 21-4 dalam masa 20 minit.
Momentum positif itu diteruskan oleh Siti Zulaikha Azmi yang memastikan kemenangan pasukan selepas menundukkan Elme de Villiers 21-11, 21-5.
Beregu pertama negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, menambah mata keempat apabila menewaskan gandingan Amy Ackerman-Johanita Scholtz 21-16, 21-14.
Kemenangan bergaya Malaysia dilengkapkan oleh pasangan Chong Jie Yu-Low Zi Yu yang mengatasi Elme de Villiers-Anri Schoonees 21-12, 21-5 dalam aksi beregu kedua.
Kejayaan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam kumpulan, malah menyaksikan skuad negara melangkah ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.
Malaysia akan bertemu Jepun esok bagi perlawanan penentuan juara kumpulan pada jam 6 petang waktu Malaysia.
Sumber Gambar: BAM