Selangor Red Giants Esports terus membuktikan status mereka sebagai kuasa utama MPL Malaysia apabila kekal menerajui carta liga selepas separuh musim saingan berlangsung.

Kejayaan itu hadir hasil prestasi luar biasa SRG yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pasukan paling konsisten setakat ini.

Aksi terbaru menentang Invictus Gaming pula seakan menjadi amaran jelas kepada pencabar lain bahawa SRG bukan pasukan yang mudah dijinakkan.

IG terlebih dahulu mencuri perhatian apabila memenangi pusingan pertama menerusi penggunaan hero ‘Harley’ oleh Hazle yang berjaya mengucar-kacirkan corak permainan SRG.

Namun, mentaliti juara yang dimiliki SRG sekali lagi terserlah apabila mereka bangkit memenangi dua pusingan berikutnya untuk melengkapkan kemenangan ‘reverse sweep’ dalam aksi penuh dramatik.

Pusingan ketiga menyaksikan IG hampir menamatkan rekod kemenangan SRG, namun satu aksi luar biasa daripada Innocent berjaya mengubah momentum perlawanan dan menghidupkan semula kebangkitan pasukannya.

Momen tersebut turut mengimbau kembali aksi ikonik Innocent ketika M6 World Championship 2024 yang pernah mencuri perhatian peminat esports dunia.

Kini, SRG terus melangkah garang dalam misi memburu kejuaraan MPL MY buat kali kelima berturut-turut, satu pencapaian yang bakal mengukuhkan lagi legasi mereka dalam arena Mobile Legends Malaysia.

Sementara itu, carta liga turut menyaksikan Team Rey berjaya memanjat ke tangga kedua, manakala Invictus Gaming, Team Vamos dan RRQ Tora pula berkongsi mata dalam perebutan kelompok teratas liga.