PERSAINGAN antara pasukan bola sepak Malaysia dan Korea Selatan pada era 70 dan 80an cukup menarik jika disingkap kembali.
Nama-nama besar muncul pada waktu itu, sekadar menyebut beberapa nama (Bakri Ibni, Datuk James Wong dan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari) sering berlegar-legar di bibir peminat waktu itu.
Namun, apakan daya ianya telah menjadi bahan sejarah yang boleh dikenang dan diceritakan kepada generasi akan datang gara-gara kemerosotan mendadak skuad Harimau Malaya di persada antarabangsa.
Tetapi, sejak kehadiran jurulatih dari Korea Selatan Kim Pan-gon yang melaporkan diri ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Januari 2022, dimensi bola sepak negara berubah sepenuhnya.
Kemenangan demi kemenangan dilakar dan kini berada di ranking 130 dunia menunjukkan Harimau Malaya seakan kembali mengaum. Kemunculan di pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit adalah buktinya.
Seramai 26 pemain dari pelbagai kelab termasuk di luar negara telah dipanggil dan terpilih beraksi di Doha, Qatar untuk mengharungi kempen Kumpulan E, yang dibarisi Jordan, Bahrain dan pemenang dua kali Korea Selatan.

Son sugul selepas Korea tewas 2-1 kepada Malaysia di Sukan Asia 2018.
Faisal Halim, penyerang sayap Selangor FC menarik perhatian Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) apabila wajahnya dijadikan poster bersama penyerang handalan Korea yang sedang mewakili kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur, Son Heung-min.
Poster tersebut jelas meningkatkan keghairahan pemain dan juga penyokong Harimau Malaya yang berdiri di belakang pasukan sepanjang temasya berlangsung.
Sudah tentu, ramai antara kita mula bercita-cita untuk terus melihat skuad kesayangan berada di pentas paling gah peringkat Asia.
Tiga perlawanan peringkat kumpulan terus termasuk aksi pemanas badan berdepan Syria pada 8 Januari ini menjadi satu cabaran dan menghadirkan keadaan yang berbeza.
Seluruh penyokong di tanah air mahupun di Doha pasti tidak sabar menghitung hari sehingga perlawanan pertama.
Inilah bola sepak. Setiap saat fikirkan bola. Tidur bola, makan bola mimpi pun bola!
Selamat datang ke Doha wahai ekor Harimau Malaya sejati!