JUSTIN Hoh mengakui kesabaran adalah kunci utama yang perlu dikuasai sepenuhnya, jika mahu terus melangkah jauh dalam acara perseorangan lelaki di pentas antarabangsa.
Pemain berusia 21 tahun itu muncul naib juara Terbuka Macau 2025, sekali gus menamatkan kempen penuh bermakna apabila layak ke final kejohanan Super 300 buat kali pertama dalam kariernya.
“Rasa sangat teruja sebab ini adalah penampilan pertama final Super 300 untuk saya,” katanya, yang tewas kepada seteru lamanya dari Indonesia, Alwi Farhan, dalam aksi tiga set di pentas akhir.
Menurutnya, perbincangan di antara pengarah kejurulatihan perseorangan lelaki, Kenneth Jonassen dan ketua jurulatih perseorangan negara, K Yogendran selepas Terbuka Amerika Syarikat dan Kanada, membantu membuka ruang penambahbaikan dalam kariernya.
“Perbincangan mereka berlangsung dengan positif, dalam mencari satu arah yang betul untuk improve diri sendiri,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Macau memberi banyak pengajaran penting, antaranya keperluan memperkukuh strategi dan kemahiran permainan serta memupuk lebih kesabaran dalam setiap aksi yang ditampilkan.