WAKIL tunggal negara di pusingan pertama kejohanan Skuasy Cincinati Gaynor Cup, Amerika Syarikat, Rachel Arnold tidak berdepan masalah mengatasi pemain remaja Mesir pada kejohanan wanita yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$75,000 (RM354,712).

Berdepan Haya Ali, 19, Rachel pada awalnya dijangka menerima tentangan sengit daripada pemain ke-61 dunia itu, namun pemain negara berjaya memastikan menidakkan kebangkitan yang cuba dicipta.

Puas hati… Rachel Arnold meraikan kemenangan ke atas Haya Ali dari Mesir

Rachel, yang kini di ranking ke-26 menamatkan perlawanan dalam tempoh 22 minit dengan kemenangan 11-9, 11-7, 11-6, untuk menempah pertemuan dengan rakan senegara, S Sivasangari di pusingan kedua, awal pagi esok.

Meskipun pertembungan sesama sendiri, aksi sengit dijangka berlaku antara kedua-dua pemain yang saling mengenali corak permainan, namun Sivasangari memili kelebihan berdasarkan rekod lima pertemuan yang dimenangi Sivasangari sebanyak tiga kali.