BAGI ibu bapa yang sedang mencari aktiviti menarik untuk anak-anak sempena cuti sekolah ini, Klinik Netball Super League (NSL) adalah pilihan terbaik.

Program ini terbuka untuk semua remaja berusia 13 hingga 17 tahun yang ingin mempelajari asas dan kemahiran bola jaring, sambil berpeluang beramah mesra dengan pemain bintang NSL yang juga merupakan pemain profesional negara.

Klinik NSL akan berlangsung di tiga lokasi terpilih, iaitu Sports Arena@Uniten (25 Januari 2025), Kompleks Bola Jaring Che’ Puan Khaleeda (5 Februari 2025), dan Stadium Juara Bukit Kiara (15 Februari 2025).

An Najwa Azizan (kanan) merupakan salah seorang pemain utama dari Johor Jewels yang berjaya meraih gelaran juara NSL musim lalu

Peserta bukan sahaja mengutip pengalaman berharga,  malah berpeluang memenangi barangan eksklusif NSL dan akan menerima tiket percuma untuk menyaksikan saingan STL yang dinanti-nanti dengan aksi yang menarik.

Selain itu juga, peserta terbaik yang terpilih akan diberi peluang beraksi di gelanggang sebenar NSL, dengan siaran langsung turut disediakan.

Menurut Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, Klinik NSL ini merupakan kesinambungan kepada usaha Astro dalam memperkasa pembangunan sukan akar umbi, selepas kejayaan Klinik Sepak Takraw League (Klinik STL).

“Astro meneruskan kesinambungan dalam memperkasakan pembangunan akar umbi dengan Klinik NSL selepas penganjuran Klinik Sepak Takraw League (Klinik STL) yang diadakan sebelum ini.

“Klinik NSL buat pertama kali akan dibuka penyertaannya dan diadakan di luar Lembah Klang kepada pelajar dan generasi muda untuk memupuk semangat mereka untuk aktif dalam sukan bola jaring.

“Pemilihan negeri Johor pula memandangkan Johor Jewels adalah juara bertahan NSL selain menyokong pembangunan bola jaring di negeri Johor,” tambahnya.

Dengan sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM), program ini juga akan diadakan di sekolah terpilih bagi memeriahkan kejohanan NSL musim keempat yang akan bermula pada 1 hingga 5 Februari 2025.