LEGENDA olahraga para negara, Ridzuan Puzi mengumumkan persaraannya sekali gus menutup karier gemilang selepas lebih sedekad mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Atlet berusia 38 tahun yang mesra dikenali sebagai Dek Wan itu mengesahkan keputusan tersebut kelmarin, menandakan berakhirnya perjalanan seorang pelari pecut yang pernah mencipta sejarah dalam sukan negara.

Ridzuan mencatat detik paling bersejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara olahraga di Sukan Paralimpik Rio 2016 menerusi acara 100 meter (m) T36.

Kejayaan tersebut bukan sahaja mengangkat nama negara di pentas dunia, malah membuka mata banyak pihak terhadap kemampuan atlet para Malaysia dalam sukan berprestasi tinggi.

Dilahirkan di Padang Besar, Perlis, beliau menghidap cerebral palsy sejak kecil, namun kekangan itu tidak pernah menghalang untuk terus mengejar impian dalam bidang olahraga.

Ridzuan mula mencipta nama di peringkat antarabangsa selepas membuat penampilan sulung pada Sukan Para ASEAN 2011 sebelum berkembang menjadi antara pelari pecut terbaik dunia dalam kategorinya.

Prestasi cemerlangnya diteruskan dengan kejayaan meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2015, sekali gus mengukuhkan status sebagai atlet elit T36.

Kemuncak kariernya turut diserlahkan pada Sukan Para Asia 2018 apabila beliau memenangi beberapa pingat emas termasuk mencipta rekod dunia dalam acara 100m T36.

Sepanjang perjalanan kariernya, Ridzuan bukan sahaja menghadiahkan pelbagai kejayaan kepada negara, malah menjadi sumber inspirasi kepada generasi atlet para baharu.

Persaraannya menutup satu era gemilang dalam olahraga para Malaysia, namun legasi yang ditinggalkan dijangka terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan para negara pada masa hadapan.