KEMELUT isu tunggakan gaji yang melanda kelab Kuala Lumpur (KL) City FC sedang hangat diperkatakan apabila tonggak utama kelab, Paulo Josue mengeluarkan kenyataan yang berkaitan dengan masalah tersebut kepada sebuah media tempatan berbahasa Inggeris.
Walau bagaimanapun, Presiden KL City FC Khalid Abdul Samad pada Khamis menepis dakwaan tunggakan gaji selama empat bulan itu sekeras-kerasnya dan menyatakan bahawa kelabnya masih dalam landasan yang betul untuk membayar gaji pemain.
Menurut Khalid, hanya dua bulan sahaja kelab ‘Warga Kota’ itu bergelut dengan masalah pembayaran gaji kepada pemain dan pihak pengurusan sendiri tidak pernah ingin mengabaikan kebajikan wira-wira KL City FC tersebut.
“Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, dimana telah menyatakan kami tidak membayar gaji pemain selama empat bulan itu agak tersasar jauh dari kebenaran.
“Sedangkan setakat ini setahu saya kita sudah membayar setiap bulan kecuali Ogos dan September dan jika tiba tanggal 7 November kita masih belum melunaskan bayaran, maka kita sudah tertunggak dua bulan.
“Ini keadaan yang telah saya harungi dari tempoh permulaan saya menjadi presiden kelab Kuala Lumpur pada tahun 2019,” tegasnya.
Difahamkan bahawa salah satu faktor utama kemelut kewangan yang dihadapi bagi kelab tersebut adalah daripada tajaan utama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sepatutnya memberi RM10 juta namun dengan masalah dalaman, mereka terpaksa menurunkan jumlah tajaan sebanyak RM5 juta.
“Tetapi dengan cabaran yang terpaksa dihadapi dengan jumlah RM5 juta daripada DBKL itu, kita tetap mampu untuk membayar pemain setiap tahun dan setiap bulan walaupun ada ketika tempoh lewat bayaran, tapi tidaklah sampai empat bulan seperti yang diperkatakan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC Stanley Bernard selaku pengurus pasukan tersebut telah mengambil peluang untuk memohon maaf kepada para jurulatih dan pemain yang terkena tempias dengan masalah kewangan yang dihadapi ketika ini.
Menurut Stanley, pihaknya sedang cuba untuk mengatasi segala permasalahan dengan mencari solusi yang tepat bagi meleraikan masalah atau isu negatif daripada kelab tersebut.