KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) terus ‘mengganas’ di jendela perpindahan apabila secara rasmi memperkenalkan bekas kapten Sporting Gijon, Nacho Mendez sebagai watak baharu dalam misi mendominasi saingan domestik dan Asia musim ini.
Pemain tengah berusia 27 tahun itu diumumkan secara rasmi menerusi satu video di laman rasmi Johor Southern Tigers, sekaligus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya selepas meninggalkan kelab LaLiga2, Sporting Gijon pada penghujung Jun lalu.
“Nacho Mendez menjadikan Johor sebagai destinasi pertamanya selepas menghabiskan karier di Sepanyol!” kata kenyataan JDT.
Dengan 218 penampilan, 17 gol dan 11 bantuan jaringan sepanjang bersama Gijon, pengalaman serta ketenangan Mendez di bahagian tengah dijangka memberi dimensi baharu kepada taktikal Xisco Munoz musim ini. Kehadirannya turut menyertai senarai kemasukan bintang import seperti Ibrahim Manusi, Antonio Glauder, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Jonathan Silva dan Jairo da Silva.
Lebih menarik, nama Mendez kini turut hangat dalam radar skuad kebangsaan. Difahamkan beliau berada dalam proses akhir melengkapkan dokumentasi sebagai Pemain Warisan Malaysia, dan sekiranya berjaya, khidmatnya berpotensi besar dipanggil ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski bagi menghadapi saingan CAFA Nations Cup pada hujung Ogos ini.
Dari LaLiga ke Liga M, penyertaan Mendez bukan sekadar memperkasa JDT — ia juga membuka lembaran baharu buat Harimau Malaya jika proses naturalisasi berjalan lancar.
ARTUKEL BERKAITAN: