PERSEORANGAN lelaki negara, Ng Tze Yong bakal menjalani pembedahan susulan, kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) di sebuah pusat rawatan terkemuka dunia, Aspetar di Doha, Qatar.
Perkembangan itu disahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang berkongsi keputusan Institut Sukan Negara (ISN) memilih pusat perubatan Aspetar di Doha, dalam usaha memulihkan karier Tze Yong, selepas perbincangan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta pemain itu sendiri.
“Tze Yong akan ke Doha untuk menjalani pembedahan. ISN sedang menguruskan tarikh dan perincian bersama pihak Aspetar,” kata Zafrul dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas menilai semua aspek termasuk tahap kecederaan, keperluan pemulihan dan prospek jangka panjang pemain berusia 25 tahun itu dalam kem kebangsaan.
Bagaimanapun, tarikh sebenar keberangkatan dan pembedahan Tze Yong masih dalam perbincangan teknikal antara ISN dan Aspetar, dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
“Ia akan diumumkan sebaik semua urusan selesai. Yang penting, kita sudah bersetuju dia ke sana dan ISN sedang menyelaras semuanya,” tambah Zafrul.
Tze Yong sebelum ini mengalami kecederaan serius pada kejohanan Malaysia Masters, sekali gus membantut usahanya untuk bangkit selepas cuti panjang akibat kecederaan dialami pada Terbuka Malaysia tahun lalu.