Ketua jurulatih Sabah FC, Martin Stano, mengakui keputusan perlawanan menentang Sri Pahang FC mungkin mengecewakan, namun secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya.
Dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Likas, Stano menegaskan bahawa pasukannya telah berusaha keras sepanjang 90 minit permainan.
Menariknya, ini merupakan perlawanan kedua berturut-turut yang berakhir dengan keputusan seri bagi kedua-dua pasukan, selepas mereka terikat 1-1 dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di venue yang sama pada 18 Januari lalu.
“Kami bekerja keras dari minit pertama hingga minit terakhir. Kami mengawal tempo perlawanan dan memberikan tekanan tinggi kepada pihak lawan. Mereka tidak mencipta banyak peluang, sedangkan kami berjaya mencipta lebih banyak peluang.
“Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol, tetapi malangnya, kemenangan tidak berpihak kepada kami hari ini,” katanya selepas perlawanan.
Menurut Stano, sasaran Sabah FC dalam setiap perlawanan adalah untuk meraih kemenangan, dan mereka akan berusaha memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan seterusnya.
“Setiap perlawanan, sasaran kami adalah untuk menang. Kami akan bertemu Kuala Lumpur City di tempat sendiri pada Jumaat ini. Harapan saya adalah pasukan dapat memperbaiki penyudah dan memanfaatkan setiap peluang yang dicipta,” tambahnya.