TWINCITY Marathon edisi ke-10 melabuhkan tirai dengan penuh kejayaan, mencatat penyertaan lebih 13,000 pelari dari dalam dan luar negara.
Acara ini turut memberi penghormatan kepada Cyberview Sdn Bhd, yang telah menjadi pencetus inspirasi kepada penganjuran Twincity Marathon sejak pertama kali diadakan pada tahun 2014.
Dengan kategori larian 42km, 21km, 12km, dan 5km, Twincity Marathon 2025 mencatat jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarahnya, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai acara larian yang paling dinantikan di Malaysia.
Sejak sedekad lalu, Twincity Marathon telah menarik lebih 50,000 penyertaan, menjadi platform yang menyatukan komuniti larian dan memupuk gaya hidup sihat.
Edisi kali ini turut mendapat sokongan padu daripada Majlis Perbandaran Sepang, Perbadanan Putrajaya, dan Avisena Specialist Hospital, Shah Alam selaku Rakan Kesihatan Rasmi.
Penganjur, Ten Senses (M) Sdn Bhd, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan acara ini.
“Kami amat menghargai sokongan rakan kerjasama seperti Cyberview yang telah mengilhamkan Twincity Marathon, serta Avisena Specialist Hospital yang telah bersama kami sejak 2024.
“Tidak dilupakan, Boom Beverage Sdn Bhd yang memastikan peserta kekal bertenaga sepanjang perlumbaan dengan minuman isotonik BOOM+. Semua ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada para penaja, peserta, dan seluruh komuniti larian,” ujar Penasihat Ten Senses Sdn Bhd, Datuk Najib Ibrahim.
Dengan semangat kesukanan dan kejayaan edisi ke-10 ini, Twincity Marathon terus membuktikan dirinya sebagai acara larian ikonik tahunan yang wajib disertai.
Bagi edisi seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari 2026, pihak penganjur dengan berbesar hati menjemput semua peminat sukan larian dari dalam dan luar negara untuk turut serta memeriahkan Twincity Marathon 2026.