VELEDROM basikal baharu lebih canggih daripada Veledrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, dijangka mula dibina tahun hadapan.

Pembinaan veledrom berbasikal trek baharu yang akan dibina di Sarawak itu, adalah satu impian kerajaan negeri terbabit.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata, pembinaannya dijangka awal tahun hadapan berkemungkinan lebih hebat atau setidak-tidaknya sama taraf dengan Veledrom Nasional.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (dua dari kiri), memberitahu Sarawak akan memulakan pembinaan veledrom basikal trek baharu di Kuching. Beliau hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri./Pix KBS

“Kemungkinan besar akan dibina dalam Kompleks Sukan Negeri Sarawak (di Kuching). Ia adalah kompleks sukan terbesar di negara ini, terdapat dua stadium, pusat akuatik, padang menembak dan kami juga sedang membina padang ragbi dan kriket.

“Ia adalah velodrom tertutup, sama ada permukaan trek adalah kayu atau sebaliknya, kami masih belum memutuskannya lagi. Kami akan mendapatkan nasihat pakar mengenainya.

“Seboleh-bolehnya kami mahu membina kemudahan serbaguna bertaraf antarabangsa. Standardnya akan sama dengan Velodrom Nasional di Nilai atau mungkin lebih baik daripada itu.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) dan Mesyuarat Pelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata, acara berbasikal trek untuk Sukma tahun hadapan akan dijalankan di Velodrom Nasional di Nilai.

Velodrom Nasional siap pada 2017, dibina dengan kos kira-kira RM80 juta dan mempunyai trek kayu sepanjang 250 meter. Ia adalah velodrom yang mampu menganjurkan pertandingan antarabangsa.