SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Edwin Tang Chee Hong tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tidak berasas mengenai pelucutan jawatannya dalam persatuan tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan notis dan agenda mesyuarat majlis MCFA bertarikh 2 Januari 2025, agenda mesyuarat berkenaan hanya memfokuskan kepada pemilihan bagi mewakili MCFA dalam Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan datang.

“Tiada agenda atau usul yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut untuk memecat saya sebagai Setiausaha Kehormat MCFA,” tegasnya dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin.

Beliau juga memaklumkan bahawa satu surat rasmi telah diserahkan kepada pihak FAM sebagai jawapan balas dan untuk memperjelaskan kedudukan sebenar mengenai isu ini.

“Saya berharap semua pihak dapat merujuk kepada fakta dan dokumen rasmi sebelum membuat sebarang dakwaan yang boleh mencemarkan nama baik persatuan dan individu yang terlibat,” katanya lagi.

Kenyataan ini dikeluarkan sebagai usaha menepis tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan kepercayaan ahli dan masyarakat terhadap kepimpinan MCFA.

Terdahulu, seorang wartawan sukan televisyen swasta, melaporkan bahawa MCFA didakwa telah melucutkan jawatan Edwin Tang Chee Hong sebagai Setiausaha Kehormat.

Selain itu, badan induk tersebut turut dikritik kerana gagal mengemukakan borang pencalonan baharu bagi pemilihan wakil menjelang Kongres Pemilihan FAM pada 15 Februari nanti.