BINTANG Mixed Martial Arts (MMA), Kategori Welterweight Malaysia, Agilan Thani atau lebih mesra disapa ‘Alligator’ kini menukar angin dengan membuat latihan intensif di Phuket Fight Club, Thailand sebagai persiapan menghadapi aksi One On Prime Video 3 di Axiata Arena pada 22 Oktober ini.

Atlet tersebut mensasarkan untuk melakukan yang terbaik dan tidak meletakkan tekanan yang terlalu tinggi kepada dirinya sebelum kejohanan tersebut bermula.

“Macam biasa selalu kita buat latihan sebelum kita berlawan dalam enam hingga lapan minggu kita ada latihan. Minggu depan kita fokus untuk turunkan berat badan dan bersedia untuk berlawan.

“Kali ini saya buat persiapan di Phuket Fight Club dan setengah di Blueprint Martial Arts, Kuala Lumpur. Masa saya di Phuket ada banyak rakan sparring, berat badan besar, ahli gusti yang bagus. Saya pergi untuk sebulan kali ini dari bulan lepas.

“Sasaran saya semestinya saya ingin melakukan yang terbaik. Sebagai atlet, saya mesti beraksi dengan seratus peratus,” katanya ketika ditemui media di Blueprint Martial Arts, Kuala Lumpur pada Khamis.

Mengulas tiga kekalahan berturut-tututnya sebelum ini, dia menjelaskan lawan yang ditempuhinya bukan lawan biasa malah mereka adalah juara dunia dari negara lain.

Sedar harapan tinggi membawa nama kebangsaan, kali ini Agilan bakal tampil dengan persiapan rapi dan lebih fokus kepada aspek drilling dan conditioning untuk mengurangkan risiko kecederaan serius.

“Awak harus faham, saya kalah tiga kali berturut-turut bukan dengan orang jual sayur, saya kalah dengan juara. Semua yang saya lawan adalah organisasi dari negara lain.

“Saya harus lebih pandai dengan persiapan saya supaya tidak mudah cedera sepanjang kem dilangsungkan, kekal tajam bukan sahaja semasa di gelanggang tetapi masa di dalam kem. Kali ini saya akan cuba yang terbaik untuk tidak cedera.

“Susahlah kalau nak bawa cara baru, mungkin saya akan bawa new tools dalam pertarungan. Saya akan buat sparring sikit, banyakkan drilling dan fokus kepada pemulihan dan conditioning,” ujarnya.

Semasa kecil, Agilan mula berjinak-jinak dalam dunia gusti disebabkan dia merupakan seorang kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan atau obesiti kerana beratnya pernah mencecah 140 kilogram pada suatu ketika.

Obesiti menyebabkan dia terus dibuli dan sebagai respons kepada perkara tersebut, dia mengambil langkah mendalami ilmu mempertahankan diri.

Hasilnya, dia berjaya turun 55 kilogram dalam masa setahun menerusi latihan Jiu-jitsu. Ia sekaligus mengubah hidupnya daripada seorang yang mengalami obesiti kepada atlet tersohor di Malaysia.

‘Alligator’ akan turun menentang lawan dari Jerman, Ilja Stojanov dalam kategori Welterweight Sabtu depan.