PENGURUS pasukan Fenerbahce, Jose Mourinho, melancarkan kritikan pedas terhadap Turkish Super Lig selepas kemenangan pasukannya 2-1 ke atas Atakas Hatayspor, pada awal pagi Isnin.
Perlawanan yang berlangsung di Istanbul, menandakan permulaan separuh kedua musim, dengan dua gol daripada Youssef En-Nesyri memastikan tiga mata penuh buat pasukan Yellow Navy Blues.
Kemenangan ini menaikkan jumlah mata Fenerbahce kepada 39, menjadikan mereka kekal di tangga kedua liga, lapan mata di belakang pendahulu, Galatasaray.
Namun, Mourinho tidak hanya menumpukan pada kemenangan tersebut, sebaliknya menggunakan sidang media selepas perlawanan untuk melontarkan kritikannya terhadap pengadil dan suasana dalam liga yang disifatkannya sebagai ‘toksik.’
Menurut media antarabangsa, dalam sidang media selepas perlawanan, Mourinho menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan akhir, walaupun memuji prestasi pemainnya.
“Kami bermain sangat baik, kami mendominasi dari awal hingga akhir dan kami mencipta banyak peluang, tetapi kami tidak cukup tajam dalam hantaran akhir.
“Keputusan 2-1 ini pelik. Perlawanan ini sepatutnya berakhir 6, 7, atau 8 gol. Pemain saya sudah berikan segalanya.
“Perlawanan ini mungkin berakhir dengan 11 lawan 8 dan dalam dua perlawanan terakhir, sepatutnya ada lima kad merah.
“Pemain kami tahu perkara ini, dan begitu juga lawan kami, Liga yang kami mainkan ini toksik,” jelasnya
Pengurus dari Portugal itu juga menyeru media Turki untuk bercakap benar mengenai isu-isu yang berlaku dalam liga, sambil mempersoalkan keberanian mereka.
“Kenapa anda (media Turki) sembunyikan kebenaran? Apa yang orang takutkan dalam negara ini? Apa yang anda takutkan? Saya tahu anda seorang wartawan, saya pun boleh jadi wartawan, tetapi apa yang anda takutkan,” soal Mourinho.
Justeru, Mourinho turut mempersoalkan sama ada jurang mata dengan Galatasaray benar-benar mencerminkan kualiti bola sepak yang dimainkan.
“Adakah anda fikir jurang mata ini hanya berkaitan dengan bola sepak yang dimainkan? Jika ya, katakan kebenarannya. Jangan tanya saya lagi,” tegasnya.
Walaupun dihimpit kritikan, Mourinho tetap optimis dengan pasukannya yang kini mengumpul 39 mata selepas 18 perlawanan.
Fenerbahce dijadualkan bertemu Kasimpasa dalam saingan Piala Turki pada Khamis, sebelum berkunjung ke gelanggang Konyaspor untuk perlawanan liga empat hari kemudian.
Mourinho sempat mengakhiri sidang media dengan nada sinis, menegaskan bahawa kebenaran perlu didedahkan jika bola sepak Turki mahu terus maju.
“Bercakaplah kebenaran. Jangan tanya saya lagi!”