Iran’s players celebrate at the end of the 2026 World Cup Group G football match between Belgium and Iran at the Los Angeles Stadium in Inglewood on June 21, 2026. (Photo by Frederic J. Brown / AFP)

SKUAD bola sepak kebangsaan Iran mencuri perhatian apabila meninggalkan sekeping nota tulisan tangan di bilik persalinan Stadium SoFi sebagai tanda penghargaan kepada bandar Los Angeles selepas menamatkan dua aksi awal Kumpulan G Piala Dunia 2026.

Mesej tersebut hadir sejurus selepas Iran mengikat Belgium tanpa jaringan dalam aksi sengit yang menyaksikan peluang mereka untuk melangkah ke pusingan kalah mati masih terbuka.

Dalam nota berkenaan, Iran menzahirkan penghargaan atas layanan yang diterima sepanjang berada di Los Angeles, sambil menegaskan pasukan itu meninggalkan bandar tersebut dengan penuh maruah.

“Dari Parsi purba ribuan tahun lalu hingga ke Iran moden hari ini, semangat kami kekal utuh dan tidak pernah luntur.

“Terima kasih kepada Los Angeles atas layanan yang diberikan. Kami hadir dengan kebanggaan, beraksi dengan penuh kehormatan dan meninggalkan bandar ini dengan maruah,” menurut mesej yang dikongsikan Persekutuan Bolasepak Iran.

Selain itu, mereka turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong yang tidak henti-henti memberikan sokongan sepanjang dua aksi di Stadium SoFi.

Malah, nota berkenaan diakhiri dengan mesej menyeru keamanan, rasa hormat dan persahabatan antara semua negara yang bertanding di pentas Piala Dunia.

Sepanjang kempen kali ini, Iran berdepan cabaran luar biasa apabila tidak dapat beroperasi seperti pasukan lain susulan sekatan perjalanan tertentu yang dikenakan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Atas faktor itu, skuad kendalian Amir Ghalenoei menjadikan Tijuana, Mexico sebagai pangkalan utama mereka sepanjang kejohanan dan perlu berulang alik ke Amerika Syarikat untuk setiap perlawanan.

Situasi tersebut menjadi lebih mencabar apabila beberapa pegawai serta kakitangan pasukan dilaporkan tidak mendapat kebenaran untuk memasuki AS.

Ghalenoei sebelum ini secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap situasi itu dan menyifatkan Iran terpaksa mengharungi cabaran yang tidak dialami oleh mana-mana pasukan lain dalam kejohanan ini.

Iran membuka kempen Kumpulan G dengan keputusan seri 2-2 menentang New Zealand sebelum mengutip satu lagi mata selepas mengikat Belgium 0-0.

Kini, tumpuan Iran beralih kepada aksi terakhir kumpulan menentang Mesir di Seattle, Sabtu ini dalam perlawanan yang bakal menentukan nasib mereka untuk ke pusingan seterusnya.