KEPULANGAN Milos Gordic ke negara asal bukanlah detik yang diraikan – sebaliknya dipenuhi kesayuan dan kecewa. Penyerang Kedah Darul Aman FC itu meninggalkan bumi Malaysia tanpa sebarang bayaran gaji, sekali gus menjadikan musim 2024/25 sebagai memori pahit dalam kariernya.

Berkongsi perasaan kecewanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, Gordic tidak menyembunyikan kesedihannya apabila segala penat lelah dan pengorbanannya sepanjang musim ini seperti tidak bernilai.

“Saya pulang ke negara saya tanpa wang. Saya mahu menangis tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa,” luah pemain berusia 32 tahun itu, yang sebelum ini pernah beraksi di China bersama WX Wugo.

Kedah sebelum ini bergelut dengan isu luar padang termasuk masalah kewangan yang berlarutan sepanjang musim. Ia memaksa beberapa pemain meninggalkan pasukan lebih awal, manakala Gordic kekal hingga tamat musim walaupun tidak menerima gaji yang dijanjikan.

Walau dirundung nasib malang, Gordic tetap menzahirkan rasa terima kasih kepada penyokong setia Sang Kenari yang sentiasa berada di belakang pasukan.

“Saya sangat menghargai layanan dan sokongan yang diberikan penyokong Kedah. Mereka luar biasa,” katanya.

Gordic menamatkan musim dengan empat gol buat Kedah, yang menamatkan kempen Liga Super di tangga ke-11 — satu kedudukan yang cukup menggambarkan betapa kelamnya musim pasukan utara itu. Namun bagi Gordic, lebih pedih daripada keputusan di atas padang adalah pulang ke tanah air tanpa sebarang imbuhan selepas berkorban segalanya.

PIX: Sangkenari