Johor sedang meneliti cadangan menubuhkan universiti sukan sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem pembangunan sukan negeri, selari dengan visi menjadikan Johor sebagai hab sukan bertaraf antarabangsa.

Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail iaitu ‘Johor Sports Nation 2030’.

Menurut beliau, penubuhan institusi itu dilihat sebagai pelengkap kepada pembangunan sukan sedia ada dan bukan prasyarat utama dalam mencapai sasaran berkenaan.

Katanya, inisiatif tersebut mampu mempercepatkan hala tuju Johor sebagai pusat pembangunan sukan bertaraf tinggi di rantau ini, namun ia masih tertakluk kepada kesediaan ekosistem serta kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh.

Tambah beliau, kerajaan negeri mahu memastikan universiti sukan yang diwujudkan kelak benar-benar berfungsi sebagai pusat pembangunan atlet berprestasi tinggi, bukan sekadar institusi pada nama sahaja.

Dalam masa sama, beliau menegaskan asas ekosistem yang kukuh amat penting bagi menjamin keberkesanan institusi itu dalam melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Ketika ini, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pengukuhan pembangunan sukan secara menyeluruh melalui peranan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), termasuk kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pendekatan berperingkat itu dilihat penting bagi memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan sukan negeri dan negara.

Sumber Gambar: FB Mohd Hairi Mad Shah