BEKAS Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee berharap keputusan memilih ketua jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sebaiknya dinilai daripada pelbagai faktor jangka panjang.

Kim Swee,51, yang juga pernah memegang portfolio penting B-23 tahun ini memberitahu, sebaiknya keputusan memilih individu bagi menggantikan Brad Maloney ini dinilai oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon.

“Saya yakin Kim Pan-gon tahu keutamaan memilih jurulatih skuad B-23 kerana barisan-barisan pemain ini akan memberi kesinambungan kepada skuad senior. Sesiapa yang sahaja yang dipilih mestilah faham dengan misi dan visinya.

Bekas ketua jurulatih B-23 Kim Hak-bum Korea Selatan. Foto: KFA

“Saya ada dengar dua nama menjadi sebutan (Kim Dong-jin dan Kim Hak-bum) untuk calon jawatan ini, dan saya percaya kedua-duanya itu mungkin dinilai terlebih dahulu daripada Pan-gon dan FAM.

“Saya tidak kisah jurulatih dari negara mana kerana apa yang penting adalah tugas mereka haruslah seiring dengan pelan atau pengurusan skuad senior. Jurulatih (B-23) tidak boleh buat ‘kepala sendiri’. Dan kalau jurulatih luar yang dilantik, biarlah seorang dua pembantunya adalah jurulatih lokal. Baharulah kita oleh belajar,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Sebelum ini, turut menjadi sebutan seorang lagi adalah jurulatih B-19 negara, Hassan Sazali Waras yang telah melakar kejayaan membawa skuad muda menjuarai Piala AFF B-19 Tahun 2022 minggu lalu.

Hassan Sazali Waras

Maloney melepaskan jawatan lebih awal selepas mencapai persetujuan bersama FAM susulan prestasi hambar skuad B-23 negara di tiga kejohanan iaitu Piala AFF di Kemboja, Sukan Sea Vietnam dan Piala AFC di Uzbekistan yang kesemuanya berlangsung dari Februari hingga bulan lalu.